Ahad, 18 Ogos 2019 | 7:40am
Penyerang Manchester City, Sergio Auero (tengah) menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menentang Tottenham Hotspur, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Kontroversi VAR tutup jurang Man City, Spurs

MANCHESTER: “Saya sayang VAR,” kata pengendali Tottenham Mauricio Pochettino secara berseloroh selepas pasukannya seri 2-2 di Manchester City susulan jaringan kemenangan Gabriel Jesus untuk juara Liga Perdana Inggeris itu dibatalkan berikutan ulang tayang video bantuan pengadil (VAR).

Bagaimanapun keputusan itu tidak menggambarkan prestasi sebenar Spurs, walaupun mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu dan memecahkan rekod perpindahan kelab untuk pemain tengah Perancis Tanguy Ndombele, yang tampak masih jauh untuk menjadi pencabar kepada City.

Skuad kendalian Pochettino ketinggalan 27 mata di belakang City musim lalu, dan malam tadi 27 adalah perbezaan percubaan gol di mana Tottenham mencatat tiga berbanding tuan rumah, 30.


Pemain Manchester City, Gabriel Jesus (kiri) merembat lalu membolosi gawang Tottenham Hotspur pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

City tidak bernasib baik apabila Erik Lamela dan Lucas Moura menyamakan kedudukan dengan hanya dua percubaan daripada Spurs selepas City mendahului dua kali menerusi Raheem Sterling dan Sergio Aguero.

“Apabila orang berkata anda boleh melakukan lebih baik daripada ini, saya tidak pasti jika ia boleh dilakukan,” kata pengendali City Pep Guardiola.

“Kami bermain dengan begitu baik. Perlawanan terbaik pernah kami harungi bersama, tetapi kami tidak menang.

“Jika kami terus bermain begini kami tidak akan menyesal dan itu yang paling penting.” – AFP

 

 

Berita Harian X