Ahad, 25 Ogos 2019 | 10:01pm
JURULATIH Skuad Bola Sepak Kebangsaan, Tan Cheng Hoe di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
JURULATIH Skuad Bola Sepak Kebangsaan, Tan Cheng Hoe di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Cheng Hoe tak harap magis

KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak meletakkan sebarang tekanan kepada pemain yang baharu menyertai skuad bimbingannya.

Cheng Hoe juga tidak mengharapkan pemain baharu melakukan magis kerana paling penting adalah mereka selesa dan menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

"Lawan Jordan adalah aksi pemanas badan terutamanya buat muka baharu. Tidak ada tekanan buat mereka dan saya juga tidak mahu mereka menekan diri untuk membuktikan sesuatu yang istimewa.

"Sebaliknya mereka perlu bermain seperti biasa dan saya tetap yakin mereka boleh main peranan kepada pasukan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan, hari ini.

Malaysia dijadualkan bertemu bertemu Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini sebelum berangkat ke Jakarta bagi mengharungi aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September depan

Dalam masa sama, Cheng Hoe juga percaya pemain sedia lakukan apa saja buat pasukan walaupun sudah mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang padat.

"Kita ada pemain yang sudah biasa dengan pasukan dan saya yakin pemain baharu tidak ada masalah untuk sesuaikan diri kerana paling penting adalah beri yang terbaik dalam latihan. Aksi dengan Jordan bukan penentu tetapi saya harap kita dapat belajar untuk jadi lebih baik.

"Pentingnya pemain yang datang mereka mahu berkorban untuk negara selepas terbabit dalam perlawanan sejak Februari sampai sekarang. Kalau kita fokus dengan kerja, saya yakin apa juga halangan mampu diatasi," katanya.

Berita Harian X