Ahad, 25 Ogos 2019 | 11:46pm
SERGIO Aguero
SERGIO Aguero

Aguero sumbat dua gol bantu City benam Bournemouth

BOURNEMOUTH: Sergio Aguero meledak dua gol ketika Manchester City mendaki ke tangga kedua Liga Perdana, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Liverpool susulan kemenangan 3-1 terhadap Bournemouth, malam tadi.

Aguero, yang sudah meledak dalam ketiga-tiga perlawanan musim ini meletakkan City di depan pada minit ke-15, selepas hantaran rendah Oleksandr Zinchenko gagal disempurnakan Kevin De Bruyne sebelum disudahkan penyerang Argentina itu.

Adam Smith kemudian terlepas peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan buat Bournemouth apabila rembatannya jauh melepasi palang gol berikutan kesilapan yang dilakukan Nicolas Otamendi.

Pemain England, Raheem Sterling menggandakan kelebihan City menerusi penyudah tenang berpunca daripada hantaran baik David Silva, dua minit sebelum permainan babak pertama berakhir.

Tetapi Bournemouth bangkit memberi saingan sebelum rehat berpunca sepakan percuma pemain gantian, Harry Wilson, pemain yang dipinjam daripada Liverpool.

Wilson hampir menyamakan kedudukan selepas rehat tetapi Ederson pantas melakukan aksi menyelamat sebelum City mengesahkan kemenangan dengan jaringan ketiga menerusi Aguero pada minit ke-63. - Reuters

Berita Harian X