Isnin, 26 Ogos 2019 | 10:38am
PEMAIN AC Milan, Krzysztof Piatek (tengah) diasak pemain Udinese, Rodrigo Becao dan Rodrigo Becao (kanan) pada aksi Serie A di Stadium Friuli, awal pagi tadi. - Foto AFP

AC Milan mula langkah kiri

MILAN: AC Milan tersungkur pada halangan pertama selepas tewas 1-0 di tangan Udinese pada perlawanan pembukaan musim Serie A awal pagi tadi ketika pemain baharu tuan rumah dari Brazil, Rodrigo Becao menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua.

AC Milan menamatkan saingan di tangga kelima, tidak layak ke Liga Juara-Juara dan dikenakan penggantungan daripada Liga Europa kerana kesalahan kewangan.

Mereka menukar jurulatih dengan bekas bos Sampdoria, Marco Giampaolo mengambil alih daripada Gennaro Gattuso bersama pasukan yang tidak berubah dari musim lalu.

Juara Eropah tujuh kali itu kekurangan inspirasi di Udine, berdepan tuan rumah yang menamatkan saingan di tangga ke-12 musim lalu dan bertarung bagi mengelak penyingkiran.

Jaringan tunggal permainan hadir pada minit ke-72 apabila Becao menanduk masuk hantaran sudut Rodrigo De Paul mengatasi Gianluigi Donnarumma di gawang Milan.

Donnarumma bagaimanapun berjaya menepis bola Kevin Lasagna seminit selepas itu.

“Keputusan negatif ini bukanlah bagus, tetapi saya akan lakukan analisis mendalam dan menyelesaikan beberapa perkara,” kata Gianpaolo. - AFP

Berita Harian X