Selasa, 27 Ogos 2019 | 6:27pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi. - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi. - NSTP/Asyraf Hamzah

Shahrel, jumpa saya jika ada masalah - MB Perak

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, meminta penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, bertemu dengannya secara peribadi jika menghadapi masalah berada dalam skuad Perak ketika ini.

Ia berikutan tindakannya yang dikatakan memadam semua gambarnya bersama pasukan The Bos Gaurus (TBG) dalam instagram peribadinya semalam dan hanya menyiarkan gambar ketika beraksi bersama pasukan PKNP, kebangsaan dan kelab Nakhon Ratchashima, sehingga menimbulkan perbahasan di kalangan netizen kemungkinan dia sudah ‘tawar hati’ dengan pasukan itu.

Ramai penyokong TBG menganggap tindakan Shahrel itu disebabkan kurang diturunkan dalam kesebelasan utama Perak walaupun ketika dua penyerang import penyandang juara Piala Malaysia itu kurang produktif menghasilkan gol ketika ini.

Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata, setakat ini Shahrel yang dianggap sebagai anak angkatnya tidak pernah menyatakan ada masalah atau mahu menamatkan kontraknya yang dipinjamkan daripada PKNP sehingga akhir tahun ini.

"Saya pun tidak tahu (tawar hati dengan Perak), cerita yang dia memadam gambar bersama pasukan Perak saya tidak tahu, saya pun tidak tahu jika dia ada masalah dalam skuad, terima kasih kerana memaklumkan kepada saya, dan saya akan perhatikan. 

"Setakat ini, dia tidak pernah menyatakan hasrat untuk berpindah atau mengadu masalah dalam pasukan, saya anggap dia sebagai anak angkat saya, dalam ramai pemain Perak, Shahrel saya anggap sebagai anak sendiri, jadi tentunya jika dia ada masalah harap dapat jumpa dengan saya, bukan sebagai Presiden PAFA tetapi sebagai ayah dia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam negeri sempena lawatan kerja Menteri Industri Utama, Teresa Kok, di sini hari ini.

Mengenai kontrak Shahrel yang akan tamat akhir tahun ini, Ahmad Faizal berkata penyerang itu adalah antara pemain yang paling dikaguminya di negara ini.

"Kalau saya pengurus pasukan, saya tentu akan menyenaraikannya (beri peluang lebih kerap bermain) dan sudah pasti dia akan disambung kontrak.

"Namun, sebagai Presiden PAFA, saya sentiasa menghormati keputusan yang dibuat EXCO PAFA dan pengurus pasukan kerana untuk kita memperkasa pasukan, kita tidak boleh ada banyak kepala, tidak boleh ada banyak jeneral.

"Jika kita sudah beri tanggungjawab kepada seseorang itu, kita harus menghormati keputusan yang dia buat," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X