Selasa, 27 Ogos 2019 | 9:17pm
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - NSTP/Saifullizan Tamadi

FAM lantik pakar psikologi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia melantik pakar psikologi sekiranya langkah itu mampu menguatkan mental pemain menghadapi sebarang kemungkinan ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia, 5 September ini.

Bagaimanapun, inisiatif itu hanya akan dibuat sekiranya ada permintaan daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan berbincang bersama Cheng Hoe untuk memastikan segala keperluan pasukan dapat dilaksanakan.

"Kita sedia maklum (perlawanan) di Indonesia... jadi mental kena kuat kalau tidak pemain akan 'koyak'. Tidak hanya persiapan fizikal dan taktikal, mental juga mustahak untuk serap tekanan di stadium.

"Sekarang kita pantau dan dekati pemain. Masih awal lagi untuk tentukan tetapi dalam sehari dua ini kita akan berbincang mengenainya bersama jurulatih.

"Jika jurulatih rasakan perlu, kita akan buat (lantik pakar psikologi). Segalanya terserah kepada jurulatih untuk tentukan, sama ada perlu atau tidak," katanya.

Yusoff yang juga pengurus pasukan merasakan FAM perlu menunaikan segala keperluan pasukan kerana sedar kemenangan pada aksi pertama Kumpulan G itu penting bagi menyuntik semangat pemain mengharungi baki saingan.

Selain Indonesia, Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut bakal jadi lawan Harimau Malaya.

Untuk itu, Yusoff mengharapkan pemain 'otai' seperti Norshahrul Idlan Talaha pastinya sudah masak dengan situasi perlawanan di Jakarta dan mahu ia dikongsi bersama pemain baharu.

"Harap ia dapat dikongsi bersama pemain lain dan kita mahu kita berada dalam keadaan sedia jika itu yang berlaku. Namun kita sudah dapat jaminan yang insiden tidak diingini tidak akan berulang.

"Begitu juga buat penyokong, jaga diri di negara orang," katanya.

Berita Harian X