Jumaat, 30 Ogos 2019 | 8:13am
Bekas pemain Belanda, Wesley Sneijder menunjukkan nama Barcelona pada pengundian pasukan Liga Juara-Juara, di Monaco. - Foto EPA
Bekas pemain Belanda, Wesley Sneijder menunjukkan nama Barcelona pada pengundian pasukan Liga Juara-Juara, di Monaco. - Foto EPA

Barcelona berdepan Dortmund, Inter

MONACO: Barcelona perlu berdepan Borussia Dortmund dan Inter Milan selepas ketiga-tiga bekas juara itu diundi dalam kumpulan sama Liga Juara-Juara, manakala juara bertahan Liverpool sekali lagi akan bertemu Napoli.

Barcelona, Dortmund dan Inter, dengan sembilan Kejuaraan Eropah antara mereka, diundi dalam Kumpulan F bersama juara Czech Slavia Prague.

Ditewaskan oleh Liverpool pada aksi separuh akhir musim lalu, Lionel Messi dan Barcelon kekal sebagai pasukan pilihan untuk mara dalam usaha mereka memburu mahkota pertama Liga Juara-Juara sejak tahun 2015.

Dortmund memenangi trofi berkenaan pada tahun 1997 dan tewas pada final 2013. Kini di bawah kendalian Antonio Conte, Inter menewaskan Barcelona pada separuh akhir sebelum menjulang kejuaraan ketiga mereka pada tahun 2010.

“Ia kumpulan yang amat sukar, menjadikannya cabaran yang lebih besar buat kami,” kata pengendali Dortmund Lucien Favre yang pasukannya akan melayan kunjungan Barca pada perlawanan pembukaan 17 September nanti.

Liverpool mara dari peringkat kumpulan musim lalu dengan kelebihan tipis ke atas Napoli, sebelum menjulang trofi keenam mereka di Madrid, dan Napoli kendalian Carlo Ancelotti kini berpeluang untuk membalas dendam.

Tewas di Naples setahun lalu, Liverpool akan kembali ke San Paolo untuk perlawanan pertama pada 17 September.

Kedua-dua kelab itu diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk mara daripada Kumpulan E yang turut dibarisi juara Austria Salzburg dan Genk, juara Belgium.

“Napoli lagi! Saya tidak tahu berapa kali sudah bertemu Napoli, tetapi jelas sekali mereka adalah pasukan berpengalaman,” kata pengendali Liverpool Jurgen Klopp.

Selepas tewas final musim lalu, Tottenham Hotspur kali ini diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Bayern Munich, Olympiakos dan Red Star Belgrade.

Juara Liga Europa, Chelsea  berada dalam Kumpulan H bersama-sama Ajax, Valencia dan Lille.

Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City mendapat undian mudah berbanding pesaing Inggeris apabila berada dalam Kumpulan C dengan pendatangan baharu dari Itali, Atalanta, Shakhtar Donetsk dan Dinamo Zagreb.

Kumpulan A turut menjanjikan saingan menarik dengan Real Madrid disertai Paris Saint-Germain, juara Turki Galatasaray dan Club Brugge of Belgium.

Juventus yang diperkuat Cristiano Ronaldo akan bertemu Atletico Madrid, Bayer Leverkusen dan Lokomotiv Moscow dalam Kumpulan D.

Kumpulan G pula menampilkan Zenit Saint Petersburg, Benfica, Lyon dan RB Leipzig.

Berita Harian X