Jumaat, 30 Ogos 2019 | 12:59pm
PENGENDALI Spurs, Mauricio Pochettino (kiri) dan pengendali Arsenal, Unai Emery. - Foto AFP

Arsenal, Spurs rebut penawar

LONDON: Arsenal dan Tottenham bakal bersaing merebut keunggulan di utara London pada Ahad yang akan menjadi isyarat awal pasukan mana mampu menyaingi Manchester City dan Liverpool dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris.

City dan Liverpool sudah mula menjarakkan diri di puncak liga dengan anak buah Jurgen Klopp satu-satunya pasukan yang menang ketiga-tiga perlawanan musim ini dan mendahului juara bertahan dengan kelebihan dua mata.

Kedua-dua pendahulu itu dijangka mudah menambah tiga mata lagi sebelum rehat antarabangsa di mana City melayan kunjungan Brighton dan Liverpool bertandang ke Burnley.

Kelompok di bawah mereka masih mencari rentak dengan Tottenham, Arsenal, Manchester United dan Chelsea masing-masing sudah mengalami kekalahan.

 

Arsenal menyedari jurang masih terlalu jauh buat mereka untuk mengejar gelaran apabila tewas 3-1 di Anfield hujung minggu lalu, tetapi memori itu boleh dipadamkan dengan kemenangan ke atas Spurs di Emirates.

Kemenangan 4-2 ke atas finalis Liga Juara-Juara itu musim lalu antara kemuncak musim pertama Unai Emery sebagai pengendali Arsenal dan ia bakal berulang sekiranya Tottenham kekal dengan prestasi hambar di awal musim ini.

Pengendali Spurs, Mauricio Pochettino percaya skuadnya masih dibelenggu spekulasi berkaitan masa depan Christian Eriksen, Jan Vertonghen dan Toby Alderweireld.

Vertonghen digugurkan dalam ketiga-tiga perlawanan musim ini, manakala Eriksen bermula di bangku simpanan menentang Aston Villa dan Newcastle.

Permulaan meyakinkan Manchester United musim ini turut terhenti dengan kekalahan kepada Crystal Palace di laman sendiri hujung minggu lalu.

Anak buah Ole Gunnar Solskjaer menerima padah selepas gagal menyempurnakan penalti dalam dua perlawanan berturut-turut, di mana sepakan Marcus Rashford terkena tiang dan penalti Paul Pogba diselamatkan ketika seri 1-1 menentang Wolves sebelum itu. – AFP

 

Berita Harian X