Ahad, 1 September 2019 | 1:33pm
PENGENDALI Aston, Villa Dean Smith. - Foto Reuters
PENGENDALI Aston, Villa Dean Smith. - Foto Reuters

Smith berang angkara pengadil, VAR

LONDON: Pengendali Aston Villa Dean Smith berang dengan kegagalan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengubah keputusan pengadil yang menafikan gol penyamaan pasukannya ketika kekalahan 1-0 kepada Crystal Palace.

Ketika permainan berbaki beberapa saat, pemain Villa Henri Lansbury merembat bola ke gawang Palace tetapi pengadil meniup wisel untuk melayangkan kad kuning kepada Jack Grealish kerana simulasi sebelum gol berkenaan.

Ulang tayang menunjukkan Grealish terjatuh kerana ada sentuhan daripada pemain Palace Wilfried Zaha sebelum bola sampai ke kaki Lansbury.

Situasi terbabit sepatutnya boleh dinilai oleh VAR tetapi pegawai perlawanan tidak mengubah keputusan awal pengadil, menyebabkan Smith naik angin.

“Ia gol yang bagus,” kata Smith. “Tidak ada siapa yang faham mengapa ia tidak diberikan. Saya tidak nampak apa-apa, dia ditolak Zaha. 

“Simulasi? Tidak mungkin! Ia gol yang sempurna. Saya belum bertemu pengadil. Saya pasti setiap gol akan dinilai oleh VAR.

“Jika anda Jack Grealish anda pasti berang, integritinya dipersoalkan. Bukan saja oleh pegawai di sini tetapi di Stockwell Park (di mana pegawai VAR menonton perlawanan).”

Liga Perdana kemudian menjelaskan dengan berkata VAR tidak menilai situasi berkenaan kerana pengadil Kevin Friend meniup wisel untuk kesalahan sebelum bola menerjah gawang.

“Pengadil menganggap Jack Grealish melakukan simulasi dalam kotak penalti dan meniup wiselnya untuk menghentikan permainan sebelum bola masuk ke gawang,” kata Liga Perdana dalam satu kenyataan. – REUTERS

Berita Harian X