Isnin, 2 September 2019 | 7:44am
PEMAIN Arsenal, Alexandre Lacazette (tengah) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, awal pagi tadi. - Foto AFP

Emery bangga semangat melawan Arsenal

LONDON: Unai Emery memuji semangat melawan Arsenal selepas mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 berdepan Tottenham pada saingan tetangga utara London awal pagi tadi.

Skuad kendalian Emery berdepan bahaya kekalahan selepas jaringan Christian Eriksen dan Harry Kane meletakkan Tottenham di depan pada minit ke-40 saingan di Stadium Emirates.

Namun Alexandre Lacazette mengurangkan defisit sejurus sebelum tamat babak pertama dan Pierre-Emerick Aubameyang menyambar jaringan penyamaan Arsenal selepas bersambung babak kedua.

“Saya agak gembira dengan cara kami. Kami bermain sepenuh hati, kadangkala lebih daripada termampu. Kami perlukan keseimbangan,” kata Emery. “Kami perlu melapangkan minda. Kami membuat sedikit kesilapan pada babak pertama.

“Penyokong memberi tekanan dan membantu kami. Jaringan pertama itu adalah kunci buat kami.

PEMAIN Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Kami berhak menang selepas 90 minit. Perlawanan itu menakjubkan untuk sesiapa yang menonton.”

Arsenal akan berehat untuk perlawanan antarabangsa di tangga kelima, hanya satu kekalahan daripada empat perlawanan awal.

Tottenham dua mata di belakang pencabar paling dibenci itu dan hanya menang sekali daripada empat perlawanan awal.

Bos Tottenham, Mauricio Pochettino kecewa dengan keputusan membenarkan kelab Eropah membeli pemain selepas tamat tempoh perpindahan Liga Perdana.

Pemain perancangan Denmark, Eriksen berminat untuk meninggalkan kelab itu, mencipta kesan tidak pasti untuk keseluruhan kelab.

Namun dengan tarikh akhir perpindahan hari ini, Pochettino berharap Tottenham akan lebih bersatu dengan masa depan Eriksen sudah ditentukan. - AFP

REAKSI pengendali Arsenal, Unai Emery ketika perlawanan menentang Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X