Selasa, 3 September 2019 | 7:29am
PENJAGA gol, Keylor Navas. - Foto AFP
PENJAGA gol, Keylor Navas. - Foto AFP

PSG sambar Keylor Navas dari Real Madrid

PARIS: Penjaga gol, Keylor Navas menyertai Paris Saint-Germain pada perjanjian hari terakhir perpindahan dari Real Madrid dengan pemain antarabangsa Perancis, Alphonse Areola berhijrah sebaliknya.

Navas, pemain berusia 32 tahun dari Costa Rica, bermain 104 kali di Madrid dan menang tiga gelaran Liga Juara-Juara, menjadi pilihan utama buat PSG dalam usaha mencari kegemilangan di Eropah.

Dia menyertai PSG menerusi perjanjian empat tahun ketika tiada yuran dinyatakan dengan akhbar Sepanyol mengatakan ia sebanyak 15 juta euro (RM69.44 juta).

Navas dipilih sebagai penjaga gol terbaik Liga Juara-Juara 2018, ketika dia juga menang gelaran Penjaga Gol Terbaik UEFA.

Dalam usaha mencari gelaran Eropah, PSG sudah mencuba beberapa penjaga gol dalam musim kebelakangan ini termasuk pemain Jerman, Kevin Trapp dan penjaga gol Itali, Salvatore Sirigu serta Gianluigi Buffon pada usia 40 tahun tetapi semuanya gagal.

Navas memberitahu laman sesawang PSG dia tidak sabar menghadapi cabaran baharu sebagai penjaga gawang PSG untuk menjajah Eropah.

“Saya datang hari ini dengan emosi yang hebat,” kata penjaga gol yang memiliki 86 kaps serta dipilih sebagai penjaga gol kedua terbaik pada Piala Dunia 2014 di belakang Manuel Neuer dari Jerman.

“Selepas pengalaman di Sepanyol, saya tiba di Perancis dengan cita-cita besar. Paris Saint-Germain ialah kelab berprestij di Amerika Latin dan saya gembira menyertai kelab dengan cita-cita besar seperti itu,” katanya. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X