Rabu, 4 September 2019 | 6:41pm
Pemain pertahanan Belanda dan Liverpool, Virgil van Dijk (dua dari kiri) ketika sesi latihan menjelang aksi kelayakan Euro 2020. - Foto AFP
Pemain pertahanan Belanda dan Liverpool, Virgil van Dijk (dua dari kiri) ketika sesi latihan menjelang aksi kelayakan Euro 2020. - Foto AFP

'Van Dijk berhak julang Ballon d'Or'

LONDON: Virgil van Dijk sudah meletakkan namanya di persada bola sepak dunia ketika pertahanan Liverpool itu bersedia untuk mengemudi skuad kebangsaan Belanda menghadapi perlawanan getir kelayakan Euro 2020 menentang Jerman, kata bekas pemain Mario Melchiot.

Selepas kempunan saingan Euro 2016 dan Piala Dunia 2018, Belanda yang diberi julukan Oranje itu mengharapkan skuad yang diketuai pemenang trofi Liga Juara-Juara musim lalu itu untuk mengelak satu lagi bencana.

Liverpool menandatangani Van Dijk dengan nilai £75 juta (RM384.56 juta) dari Southampton 18 bulan lalu dan pertahanan kental itu sudah membuktikan kualitinya bersama skuad kendalian Jurgen Klopp.

Reds ketika ini dilihat calon utama untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana selepas menamatkan saingan satu mata di belakang Manchester City musim lalu sambil mengutip 97 mata.

Justeru Melchiot yang juga bekas pemain Belanda, percaya Van Dijk layak untuk berdiri sama tinggi dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo bagi anugerah terulung itu selepas dinamakan Pemain Terbaik Eropah, minggu lalu.

“Perkara yang hebat mengenai Van Dijk ialah dia sentiasa tenang dalam semua situasi,” kata Melchiot. “Saya berharap dia mengekalkannya kerana ia menjadikannya berbeza. Ia memberikan rasa senang kepada rakan sepasukannya, ia membuatkan segala-galanya berada dalam kawalan dan berasa dia sedang mengawal keadaan.

“Apabila saya melihatnya bermain untuk Belanda di Groningen, saya lihat dia tenang. Dia tidak menunjuk-nunjuk. Di kampung halamannya dia seperti itu. Kemudian dia memilih perjalanan yang hebat, dia pergi ke Scotland dan menunjukkan dia boleh menanganinya.

“Kemudian di Liga Perdana, dia menunjukkan dia boleh menanganinya bersama Southampton. Kemudian Liverpool datang dengan wang yang besar. Dan dengan pantas dia membawa ketenangan (yang Liverpool tiada sebelum ini). Dia pantas, mempunyai kekuatan, teknik dan dia memahami permainan.

“Dia juga kapten Belanda. Dia pemain yang hebat, dan dia memberikan ketenangan kepada Liverpool di final Liga Juara-Juara. Dia membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain terbaik, dia sudah tentu pilihan utama untuk Ballon d'Or. Ini adalah masanya.” - Agensi

Berita Harian X