Jumaat, 6 September 2019 | 8:39am
Pemain Sepanyol, Mikel Oyarzabal (kiri) dan Sergio Busquets (kanan) bersaing dengan pemain Romania, George Alexandru Puscas dalam aksi Kelayakan Euro 2020 di Bucharest, Romania. - Foto AFP

Sepanyol hapus badi di Bucharest

BUCHAREST: Sepanyol merakam kemenangan kelima daripada lima perlawanan Kelayakan Euro 2020 apabila mengatasi Romania 2-1 pagi tadi meskipun beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanannya, Diego Llorente dibuang padang.

Kapten Sergio Ramos meletakkan Sepanyol di depan menerusi jaringan minit ke-27 selepas menyempurnakan penalti untuk gol keempat peribadinya dalam lima aksi setakat ini.

Sepanyol mencipta deretan peluang untuk menambah jaringan namun ketangkasan penjaga gol Romania, Ciprian Tatarusanu menghalang Sepanyol dari kenduri gol.

Paco Alcacer menambah jaringan pada babak kedua namun pemain gantian tuan rumah, Florin Andone merapatkan jurang menerusi rembatan kencang jarak dekat pada minit ke-59.

Gol berkenaan mencetus gempita penyokong tuan rumah selepas Romania bangkit mengatur serangan sehinggalah Llorente dilayangkan kad merah ketika perlawanan berbaki 11 minit selepas menghalang pemain tuan rumah melakukan cubaan.

Sepanyol nyaris dihukum apabila cubaan minit akhir dari George Puscas diselamatkan penjaga golnya, Kepa Arrizabalaga sekali gus menghela nafas lega apabila mencatat kemenangan pertama di gelanggang lawan selepas tujuh kali bertembung.

Anak buah Moreno, yang dilantik jurulatih Sepanyol pada Jun hilang khidmat Luis Enrique yang masih bersedih atas kematian anak perempuannya yang berusia sembilan tahun akibat kanser minggu lalu.

Moreno berkata kejayaan yang dicapai anak buahnya itu bakal membuahkan hasil dalam tempoh jangka panjang.

"Kejayaan ini akan mengukuhkan lagi kami sebagai sebuah pasukan, kami bertahan bersama dan menyerang dengan pantas, saya rasa ini sangat bagus untuk skuad Sepanyol, kami patut mengucapkan syabas kepada diri sendiri dengan kejayaan ini,” katanya.

"Kami tahu Romania akan menyukarkan kami sehingga hujung saingan, mereka melakukannya ke atas Sweden dan Norway dengan menjaringkan gol saat akhir. Tapi agak memalukan kerana kami gagal menjaringkan lebih banyak gol selepas mencipta banyak peluang.”

Sepanyol kini menduduki tangga teratas Kumpulan F dengan 15 mata daripada lima perlawanan.

Sweden di tangga kedua dengan 10 mata selepas membelasah Faroe Islands 4-0 di gelanggang lawan manakala Norway di tangga ketiga dengan lapan mata selepas mengatasi Malta 2-0, pagi tadi.

Romania kini tergelincir di tangga keempat dengan hanya tujuh mata. – Reuters

Berita Harian X