Jumaat, 6 September 2019 | 8:43am
Pemain Itali, Andrea Belotti (dua dari kiri) menjaringkan gol dalam aksi bertemu Armenia di Yerevan. - Foto Reuters
Pemain Itali, Andrea Belotti (dua dari kiri) menjaringkan gol dalam aksi bertemu Armenia di Yerevan. - Foto Reuters

Itali hampakan Armenia di Yerevan

YEREVAN : Itali bangkit selepas ketinggalan untuk menewaskan Armenia 3-1 dalam saingan Kelayakan Euro 2020 pagi tadi tatkala tuan rumah beraksi dengan 10 pemain pada keseluruhan babak kedua selepas penyerang handalannya, Aleksandre Karapetyan dibuang padang.

Karapetyan meledak gol pertama pada minit ke-13 dalam aksi Kumpulan J itu namun dibuang padang sebelum rehat selepas mengutip kad kuning kedua sekali gus menyaksikan Armenia bergelut menandingi pelawat itu.

Itali, berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Andrea Belotti pada minit ke-28 dan melengkapkan kemenangan 15 minit sebelum masa penuh hasil jaringan Lorenzo Pellegrini sebelum Belotti sekali lagi menemui gawang untuk gol ketiga.

Itali berdepan tugas sukar pada babak awal menerusi ancaman serangan balas pantas Armenia namun mereka akhirnya longlai menuju ke hujung saingan.

Itali kini menduduki tangga teratas Kumpulan J dengan 15 mata daripada lima perlawanan manakala Finland di tangga kedua dengan 12 mata selepas menang 1-0 ke atas Greece hasil jaringan penalti Teemu Pukki.

Dalam pada itu, kejayaan besar Bosnia yang menang 5-0 ke atas Liechtenstein meletakkan mereka di tangga ketiga dengan tujuh mata manakala Armenia di tangga keempat dengan enam mata manakala Greece, juara 2004, tegelincir dengan hanya empat mata.

"Ketiadaan Karapetyan menyukarkan kami sebenarnya kerana mereka lebih bertahan,” kata jurulatih Itali, Roberto Mancini.

"Permainan hari ini sangat sukar. Pemain kami lambat panas, Liga Armenia sudahpun memasuki pertengahan musim, ini bukan alasan, tetapi itulah hakikatnya.”

Armenia mengejutkan Itali apabila Tigran Barseghyan melepasi benteng pelawat sebelum melorongkan bola ke kaki Karapetyan yang merembat deras dari bucu kotak penalti.

Belotti menyamakan kedudukan pada minit ke-28 dengan voley hasil hantaran Emerson, pemain kelahiran Brazil yang tampil bersama seorang lagi kacukan Brazil, Jorginho.

Federico Bernardeschi dan Belotti kerap mengucar-kacirkan benteng tuan rumah sebelum Karapetyan dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Leonardo Bonucci. – Reuters

Berita Harian X