Sabtu, 7 September 2019 | 11:00am
Penyerang Wales, Gareth Bale (kiri) menanduk bola melepasi jangkauan penjaga gol Azerbaijan untuk gol keduanya pada perlawanan kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Bale selamat maruah Wales

CARDIFF, United Kingdom: Gareth Bale berharap kejayaan Wales menewaskan Azerbaijan 2-1 bakal menjadi titik tolak buat pasukan itu dalam memburu kelayakan ke Euro 2020 selepas bintang Real Madrid itu menyelamatkan pasukannya untuk mencatat kemenangan pada awal pagi tadi.

Dengan hanya berbaki enam minit perlawanan di Stadium Cardiff City, pasukan Ryan Giggs hampir mencatatkan keputusan seri yang memalukan apabila mencalar peluang melangkah ke Kejohanan Eropah tahun depan.

Meskipun mendahului permainan menerusi gol sendiri Pavlo Pashayev pada babak pertama, Wales memberi laluan mudah buat lawan menyamakan kedudukan selepas rehat.

Pasukan itu yang tewas kepada Hungary dan Croatia dalam Kumpulan E, diselamatkan oleh kaptennya itu dengan sepakan jarak dekat.

Wales kini di kedudukan ketiga kumpulan, tiga mata di belakang Hungary dan Croatia selepas empat perlawanan.

“Azerbaijan membuatkannya sukar. Ada kalanya kami cuai. Kami kemudian mengharunginya dan mempamer karektor sebenar kami,” kata Bale.

“Kemenangan yang tidak sempurna memberikan anda kekuatan mental dan momentum untuk menang lagi. Diharap ini menjadi titik tolak.

“Kami mahu melakukannya dengan penuh bergaya tetapi tiga mata adalah tiga mata. Kami yakin kami boleh melayakkan diri. Kami akan teruskan hingga ke penamat.” – AFP

 

Berita Harian X