Sabtu, 7 September 2019 | 2:15pm
Perlawanan dihentikan selepas penyokong memasuki padang ketika aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sudah sampai FIFA - FAM

KUALA LUMPUR: Laporan berkenaan insiden kekecohan penyokong Indonesia ketika aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sudah sampai ke tangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan, Konfederasi Bolasepak Asia mengesahkan bahawa laporan oleh pegawai komisioner perlawanan FIFA dan pegawai keselamatan FIFA perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno itu sudah dihantar kepada FIFA untuk penilaian dan tindakan lanjut.

Perkara itu disahkan selepas pertemuan antara Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Unit Perundangan FAM, Shahida Bashirah Hishamuddin bersama wakil AFC, semalam.

AFC pula diwakili Ketua Keselamatan dan Sekuriti Stadium, Brian Johnson; Pengurus Keselamatan dan Sekuriti Stadia, Shahin Rahmani serta Pengurus Acara Bola Sepak Unit Pertandingan dan Bahagian Acara Bola Sepak, Deng Xiaolong, semalam.

"Pertemuan itu bagi mengesahkan hasrat persatuan bagi membuat laporan kepada FIFA susulan insiden yang berlaku ketika aksi Kumpulan G antara Indonesia dan Malaysia pada 5 September lalu," kata FAM dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam Stuart mengesahkan FAM akan mengemukakan aduan rasmi berhubung tindakan penyokong Indonesia menyerang penyokong Malaysia sambil menganggap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan pihak keselamatan di sana gagal menyediakan jaminan keselamatan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Selain itu, Stuart juga bertemu dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul dalam pertemuan berasingan semalam untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap insiden yang berlaku.

"FAM turut mendapatkan nasihat daripada AFC untuk membantu menyediakan pelan keselamatan yang komprehensif menjelang pertemuan kedua pada 19 November depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk mengelakkan insiden pada 5 September berulang," kata FAM.

Berita Harian X