Isnin, 9 September 2019 | 7:42am
EMIL Forsberg

Forsberg selamatkan maruah Sweden

STOCKHOLM: Jaringan babak kedua Emil Forsberg menyelamatkan Sweden yang berkongsi mata apabila seri 1-1 ketika berdepan Norway dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Euro 2020 di Stockholm, pagi tadi.

Sweden menguasai perlawanan sejak mula namun pelawat berjaya mendahului mereka sebelum rehat apabila Andreas Granqvist melakukan kesilapan hantaran kepada Victor Lindelof.

Bola berkenaan disambar Joshua King, yang kemudian melorongkan kepada Martin Odegaard sebelum pemain tengah itu mengumpan kepada kapten Norway, Stefan Johansen yang mudah menolak masuk.

Tuan rumah menggandakan asakan pada babak kedua dengan Forsberg meningkatkan peranannya di depan gol dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 selepas mengatur pelbagai gerakan.

Perlawanan derby tetangga negara Scandanavia itu berlangsung sengit terutama pelawat yang mahu memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang melayakkan diri.

Dengan enam negara sudah mengharungi enam perlawanan kelayakan setakat ini, Sepanyol meraih 18 mata susulan kemenangan 4-0 ke atas Faroe Islands.

Sweden di tangga kedua dengan 11 mata manakala Romania tangga ketiga (10 mata) disusuli Norway dengan sembilan mata.

Sepanyol akan berkunjung ke Norway pada 12 Oktober sebelum meneruskan misi bertemu Sweden di Stockholm tiga hari kemudian. – Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X