Isnin, 9 September 2019 | 1:11pm
PENJAGA gol Finland, Lukas Hradecy gagal menyelamat sepak penalti daripada Jorginho. - Foto Reuters
PENJAGA gol Finland, Lukas Hradecy gagal menyelamat sepak penalti daripada Jorginho. - Foto Reuters

Jorginho selamatkan maruah Itali

TAMPERE, Finland: Penalti kemenangan Jorginho  membawa Itali menghampiri Euro 2020 selepas menewaskan Finland 2-1 dalam aksi Kumpulan J Kelayakan Euro awal pagi tadi dan mengekalkan rekod sempurna pasukan pada aksi kelayakan setakat ini.

Jaringan penalti pemain tengah Chelsea Jorginho pada minit ke-79 memberikan kemenangan keenam berturut-turut kepada skuad Roberto Mancini dan membolehkan mereka mendahului enam mata berbanding Finland yang menghuni di tangga kedua.

Terdahulu, penyerang sensasi Norwich City, Teemu Pukki memadamkan jaringan awal Ciro Immobile yang menanduk masuk bola ke gawang lawan, apabila meledak penalti enam minit sebelum giliran Jorginho menyempurnakan peluangnya.

Itali kini di tangga teratas dengan 18 mata dengan baki empat aksi kelayakan, sembilan mata mengatasi Armenia di tangga ketiga biarpun mereka mencatat kemenangan 4-2 ke atas Bosnia Herzegovina sebelum itu.

Mereka kini berpeluang mara ke kejohanan itu yang bermula di Rome Jun depan.

Greece pula terikat seri 1-1 selepas Liechtenstein mencatat kejutan di Athens, pagi tadi.

“Perlawanan menentang Greece mungkin akan mengesahkan kelayakan dan kami berharap Stadio Olimpico akan penuh seperti ketika Piala Dunia 1990 ketika kami masih muda,” kata jurulatih Itali, Roberto Mancini.

Mancini, bekas pemain Itali mengambil alih pasukan itu tahun lalu selepas Azzurri gagal layak ke Piala Dunia 2018 di Russia.

“Kami agak menderita tetapi mendominasi perlawanan,” katanya.

“Secara keseluruhannya pemain beraksi dengan baik biarpun agak cemas ketika kedudukan terikat 1-1.” - AFP

Berita Harian X