Selasa, 10 September 2019 | 8:37pm
PENYOKONG Ultras Malaya turut hadir memberi sokongan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 diantara Malaysia bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kemenangan di Jakarta motivasi penyokong ke Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Kemenangan ke atas Indonesia di Jakarta minggu lalu jelas menjadi tarikan kepada penyokong untuk hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya menentang pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.

Walaupun berjerebu dan hari bekerja, ia bukan halangan buat mereka untuk hadir ke stadium sebagai 'pemain ke 12' dan sudah pasti ramai yang mengharapkan keputusan positif mampu dicapai anak buah Tan Cheng Hoe pada aksi Kumpulan G saingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 itu.

Kehangatan dan sikap ambil kisah terhadap pasukan kebangsaan masih terserlah di kalangan penyokong dan ia boleh disaksikan seawal jam 2 petang apabila ramai mula ke stadium bagi mendapatkan tiket di kaunter jualan.


PENYOKONG pasukan negara mula hadir menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 diantara Malaysia bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Walaupun jumlah kehadiran penyokong tidak memenuhi segenap tempat duduk di stadium, namun sokongan tidak berbelah bagi yang ditunjukkan cukup terserlah terutamanya di curva Ultras Malaya.

Tinjauan dibuat pada sebelah petang di perkarangan stadium menyaksikan jualan tiket secara fizikal berlangsung baik.

Rata-rata penyokong yang ditemui menyambut baik langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang melakukan penjualan tiket secara atas talian dan fizikal di kaunter.

Berita Harian X