Rabu, 11 September 2019 | 9:49pm
PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Izuan Salahuddin (kiri). NSTP/Hazreen Mohamad

NS tidak rela kempen berakhir

SEREMBAN: Negeri Sembilan (NS) akan menjadikan kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) sebagai motivasi apabila turun menentang PKNS FC dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Perancang skuad itu Izuan Salahuddin berkata, dia dan rakan sepasukan akan menggunakan peluang yang ada untuk meneruskan cabaran dalam usaha meneruskan rentak kemenangan.

"Tempoh rehat selama lebih dua minggu juga digunakan dengan baik terutama dalam menilai kembali persembahan kami pada aksi sebelum ini dan yakin dengan kemampuan untuk meneruskan rentak kemenangan itu,” kata Izuan.

"Fokus kami ketika ini adalah untuk menewaskan PKNS bagi membuka peluang ke peringkat suku akhir dan sedar andai usaha itu gagal, impian kami akan berkubur."

NS kembali menghidupkan peluang ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas meraih kemenangan pertama menewaskan TFC, 3-2, dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, 23 Ogos lalu.

Bagaimanapun skuad Hobin Jang Hobin masih menduduki tangga tercorot dalam kumpulan berbanding TFC di tangga teratas dengan sembilan mata, diikuti Kedah (tujuh mata) dan PKNS (empat mata).

Dalam pada itu Izuan berkata, pasukannya perlu bersikap lebih berhati-hati dengan strategi dan penampilan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu kerana tempoh rehat panjang serba sedikit akan mempengaruhi persembahan dan sukar dijangka.

Tonggak berusia 28 tahun itu menggesa rakan sepasukan tidak leka sebaliknya kekal fokus sepanjang tempoh 90 minit permainan selain memastikan pergerakan jentera serangan PKNS dan percubaan mereka ke arah pintu gol disekat sepenuhnya.

"Memang tugas ini bukan mudah, tapi melalui kerjasama dan komitmen tinggi semua pemain kemenangan ke atas PKNS boleh direalisasikan.

"Apa yang penting, kami perlu berusaha menterjemahkan setiap perancangan dan strategi dirangka jurulatih dan seterusnya menjaringkan gol," katanya.

Berita Harian X