Khamis, 12 September 2019 | 7:24am
ALISSON

Liverpool lega, Alisson kian pulih 

LIVERPOOL: Penjaga gol antarabangsa Brazil, Alisson kian sihat dari kecederaan betis yang dialaminya, kata jurulatihnya, pagi ini.

Alisson terpaksa dikeluarkan pada perlawanan permbukaan Liga Perdana Inggeris ketika menentang Norwich City yang menyaksikan anak buah Jurgen Klopp menang 4-1.

Sejak ketiadaan penjaga gol Brazil itu, gawang Liverpool dikawal oleh Adrian yang kini memperaga watak hebat dengan rekod kemenangan 100 peratus dan kekal mendahului carta liga serta dua mata di depan juara musim lalu, Manchester City.

Tempoh rehat antarabangsa memberi peluang kepada Alisson untuk mengembalikan kecergasannya namun jurulatihnya, John Achterberg mengesahkan belum pasti mengenai tempoh sebenar untuk Alisson kembali  beraksi di padang.

"Beberapa hari lalu, dia ada menjalani latihan di padang membabitkan sedikit rutin sebagai penjaga gol,” katanya.

"Dia makin menunjukkan peningkatan. Ia memerlukan masa dan kami tidak boleh melihat telalu ke depan, jadi kami perlu menilai kecergasannya setiap hari, lihat bagaimana perkembangannya dan selepas itu barulah boleh tentukan tindakan seterusnya.

"Ali juga sudah menjalani rawatan pemulihan dengan Dave (Rydings, jurupulih anggota) di gym dan ada peningkatan dari segi kekuatan dan kecergasannya.”

Liverpool akan menerima kunjungan Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu ini. (jam 7.30 malam waktu Malaysia). – Agensi

Berita Harian X