Khamis, 12 September 2019 | 5:29pm
BINTANG Barca, Lionel Messi.

Messi ulas kemelut Neymar

BARCELONA: Barcelona gagal mendapatkan Neymar dari Paris Saint-Germain ketika jendela perpindahan musim panas lalu dan Lionel Messi mendedahkan dia tidak mempunyai seberang pengaruh ke atas rundingan perpindahan itu.

Bintang Barca, Messi berkata dia memang mahukan Neymar kembali bersama skuad Catalan itu tetapi pada masa sama dia tidak kecewa apabila kelab gagal memeterai perpindahan bintang Brazil berkenaan.

Kedua-dua pemain itu bergandingan selama empat musim di Camp Nou selepas Neymar dibeli dari Santos, dan dengan ketibaan Luis Suarez setahun kemudian trio berbisa MSN (Messi, Suarez, Neymar) berganding meledak rekod jaringan serta membantu Barca memenangi pelbagai trofi.

Kerjasama mereka berakhir pada tahun 2017 apabila Neymar berpindah ke PSG pada rekod perpindahan tertinggi dunia.

Barca mahu Neymar kembali ke La Liga sebelum jendela perpindahan Eropah ditutup 2 September lalu, namun rundingan antara kedua-dua kelab gagal menemui kata putus.

“Saya memang suka jika Neymar kembali,” kata bintang Argentina, Messi.

“Secara jujurnya, saya tidak tahu jika Barca sudah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkannya tetapi saya pasti rundingan dengan PSG bukan mudah.

“Saya tidak kecewa. Kami mempunyai skuad mantap yang mampu bersaing di semua pertandingan, tanpa kehadiran Neymar.

“Tidak dinafikan Neymar adalah antara yang terbaik di dunia. Dengan kehadirannya sudah pasti imej kelab akan lebih baik daripada segi prestasi dan penajaan.” – AGENSI

 

Berita Harian X