Khamis, 12 September 2019 | 5:40pm
PEMAIN PKNS FC meraikan jaringan kedua pada perlawanan Piala Malaysia antara Kedah menentang PKNS FC, di Stadium Darul Aman. NSTP/Sharul Hafiz Zam.

Misi wajib menang PKNS

KUALA LUMPUR: PKNS FC memikul misi wajib menang apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan bagi aksi Kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, esok.

PKNS memerlukan tiga mata untuk membuka peluang lebih besar mara ke suku akhir selepas hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan sebelum ini.

Skuad kendalian Datuk K Rajagobal kini berada di kedudukan ketiga kumpulan, tiga mata di belakang Kedah di kedudukan kedua dan lima mata di belakang pendahulu, Terengganu FC (TFC).

Walaupun dianggap peluang untuk ke suku akhir hampir terturup, pengurus pasukan PKNS, Mahfizul Rusydin Abd Rashid tetap optimis peluang buat Semut Merah masih terbuka.

"Ini adalah pertandingan Piala Malaysia yang sentiasa penuh dengan kejutan. Cuma pemain dinasihatkan untuk mengekalkan disiplin dan mengikut segala taktikal yang dirancang jurulati,” kata Mahfizul.

"Kami perlu ambil peluang untuk mendapatkan tiga mata di samping berwaspada dengan Negeri Sembilan yang mendapat motivasi selepas menewaskan TFC sebelum ini."

Berita Harian X