Sabtu, 14 September 2019 | 3:00pm
Wan Kuzain Wan Kamal.

Semoga 'Messi Amerika' berubah hati

KUALA LUMPUR: Walaupun belum ada tanda-tanda Wan Kuzain Wan Kamal mahu menyertai skuad senior Harimau Malaya, namun pemain berusia 20 tahun itu masih diharap berubah hati satu hari nanti.

Wan Kuzain sebelum ini dilaporkan bersetuju menyertai skuad bawah 22 (B-22) tahun negara untuk temasya Sukan SEA hujung tahun ini, tetapi bapanya menegaskan anaknya yang pernah digelar 'Messi Amerika’ tidak akan menyarung jersi Harimau Malaya.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menjelaskan Wan Kuzain mempunyai hak untuk menentukan pilihannya sama ada mahu bermain untuk Malaysia atau Amerika Syarikat.

Malah, Jamal berkata penyertaan Wan Kuzain bersama skuad negara di Sukan SEA bakal memberi gambaran sebenar mengenai prestasi pemain itu berbanding hanya dilihat menerusi video.

"Kalau dia tak mahu sertai Harimau Malaya kita tak boleh paksa dan dia juga sudah lama tinggal di sana (Amerika Syarikat)," kata Jamal kepada BH Sukan, semalam.

"Kalau dia nak main untuk skuad Sukan SEA, paling kurang ada juga sumbangan dia. Cuma kita harap satu masa nanti dia nak balik sertai Harimau Malaya."

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menyokong tindakan Wan Kuzain yang dianggap mempunyai cita-cita tinggi untuk beraksi di Piala Dunia bersama Amerika Syarikat.

"Bagi saya kalau dia dapat beraksi di Piala Dunia bersama Amerika Syarikat pun sudah menjadi kebanggaan buat kita dan saya puji dengan cita-cita yang dia ada," kata Serbegeth.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa pula berpendapat Wan Kuzain sedar mengenai keputusannya tidak mahu menyarung jersi Harimau Malaya.

"Mengikut peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pemain tidak boleh bermain negara kedua dalam tempoh lima tahun. Jadi, itu adalah risiko buat masa depan kerjaya dia.

"Saya rasa dia faham dengan peraturan FIFA dan peluang dia untuk mewakili Amerika Syarikat mungkin cerah selain negara itu juga sudah sudah beberapa kali layak ke Piala Dunia.

"Malah, bila bermain di Piala Dunia, peluang untuk dia terpilih beraksi di liga utama Eropah juga lebih tinggi," kata Sadek.

Berita Harian X