Ahad, 15 September 2019 | 8:29am
Penyerang PSG, Neymar Jr meraikan jaringan gol ketika menentang Strasbourg, semalam. - Foto EPA

Neymar sedia diejek

PARIS: Penyerang Paris St Germain (PSG), Neymar sudah menjangka dia akan menerima layanan kurang mesra tidak kira di mana dia beraksi musim ini ketika segelintir penyokong tuan rumah ‘menutup mata’ atas prestasi hebatnya, semalam selain turut mengejek pemain dari Brazil berkenaan.

Neymar meledak gol menarik menerusi sepakan gulung dua minit sebelum masa permainan tamat untuk memastikan tuan rumah mencatatkan kemenangan 1-0 terhadap Racing Strasbourg dalam aksi Ligue 1.

Tetapi ia tidak mencukupi untuk menenangkan peminat yang bukan saja marah susulan tindakannya yang ingin berpindah semula ke kelab lamanya, Barcelona, tetapi juga kerana dia menyatakan memori paling indah sebagai pemain bola sepak adalah ketika PSG dimalukan Barcelona, 6-1 ketika aksi Liga Juara-Juara pada 2017.

Pada Sabtu, Neymar mengakui PSG menyekat perpindahannya ke Sepanyol sebelum menambah dia sudah melupakan sebarang kekusutan.

“Saya memiliki alasan sendiri, saya mahu berpindah, itu jelas,” katanya kepada pemberita di Portugal. “Saya lakukan segala-galanya tetapi mereka tidak mahu melepaskan saya. Tetapi saya tidak akan berikan maklumat lanjut, ia sudah berubah.

“Ini adalah kali pertama saya menyatakan perkara ini dan ia akan menjadi yang terakhir kerana dalam fikiran saya adalah untuk memberikan dedikasi kepada Paris dan saya harap dapat membantu pasukan saya dalam perlawanan.”

Segelintir peminat turut bersorak selepas Neymar menjaringkan gol kemenangan namun ada yang mengejeknya dengan sebahagian penyokong turut mempersenda penyerang kontroversi itu dengan memegang sepanduk yang menyinggung perasaan.

Bagaimanapun Neymar enggan memanjangkan insiden berkenaan dan merayu agar peminat mengetepikan perasaan benci terhadap dirinya.

“Ini bukan pertama kali saya diejek. Saya diejek pihak lawan di Brazil. Saya bermain di Perancis dan saya diejek’.

“Jadi ia perkara yang menyedihkan dan saya tahu perlawanan selepas ini adalah di tempat lawan. Saya tidak bermusuh dengan peminat PSG. Saya tidak perlukan mereka untuk menyorak nama saya atau berada di sana untuk saya. Saya mahu mereka berada di sana untuk PSG.

“Mereka kata PSG lebih besar daripada mana-mana pemain. Mereka perlu melupakan pemain itu dan memberikan sokongan buat pasukan, ia adalah lebih penting berbanding ejekan. Ia langsung tidak mengganggu saya.

“Ia amat menyedihkan. Ia mengganggu rakan sepasukan tetapi ia sebahagian daripadanya. - Reuters

Berita Harian X