Isnin, 16 September 2019 | 8:03am
Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (tengah) cuba dihalang pemain Watford pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto AFP

Arsenal bernasib baik raih 1 mata

LONDON: Kapten Arsenal, Granit Xhaka mengakui skuad Gunners bernasib baik memungut satu mata selepas memusnahkan kelebihan 2-0 untuk seri 2-2 berdepan pasukan tangga terbawah Watford awal pagi tadi.

Quique Sanchez Flores meraikan kembalinya dia selaku pengurus Hornets ketika jaringan Tom Cleverley dan penalti Roberto Pereyra memastikan satu mata buat pasukannya.

Pierre-Emerick Aubameyang tampak sudah membawa Gunners untuk selesa memungut tiga mata apabila dia meledak dua kali dalam tempoh 11 minit sebelum rehat.

Pemain Watford, Tom Cleverly (dua dari kanan) mengawal bola dari pemain Arsenal, Matteo Guendouzi pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto EPA

Bagaimanapun, Sanchez Flores, yang dilantik sebagai bos Hornets buat kali kedua minggu lalu selepas hanya satu mata dalam empat perlawanan awal liga menyaksikan Javi Gracia dipecat, menggembirakan penyokong tuan rumah dengan kebangkitan pada babak kedua.

“Kami bermain dengan buruk pada babak kedua. Anda boleh berkata kami gembira memungut satu mata,” kata Xhaka.

“Kami takut pada babak kedua. Kami tahu mereka akan bangkit dan memberikan tekanan buat kami tetapi kami perlu menunjukkan cara sebenar dan tidak takut.

“Kami sudah bercakap mengenainya. Kami tidak boleh menampilkan persembahan seperti ini pada babak kedua.”

Arsenal memainkan peranan besar dalam kejatuhan mereka sendiri apabila kerap kali hilang bola dalam kawasan sendiri dan cuba bermain jauh dari belakang. - AFP

Berita Harian X