Isnin, 16 September 2019 | 1:28pm
PEMAIN Kedah, Renan Alves (kanan) ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim. - Foto Shahrizal Md Noor

Kedah hilang 2 tonggak hadapi Negeri Sembilan

 

ALOR SETAR: Kedah yang kini mendahului carta Kumpulan A saingan Piala Malaysia bakal kehilangan dua tonggak utama bagi meneruskan aksi terakhir menentang Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman malam esok. 

Menurut Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, pemain berkenaan ialah pertahanan dari Brazil Renan Alves dan pemain tengah dari Kyrgyzstan Edgar Bernardt yang masing-masing menjalani pengantungan perlawanan dan kecederaan. 

"Renan menerima kad kuning ketiga pada perlawanan menentang Terengganu Jumaat lalu dan tidak dapat beraksi satu perlawanan manakala Edgar pula mengalami kecederaan kaki dan kini dalam proses pemulihan.

"Di sebalik kekurangan ini, pemain harus bangkit dengan lebih bersemangat dan berkeyakinan sebagai satu pasukan untuk memastikan perancangan memburu kemenangan di laman sendiri berjalan lancar.

"Dalam masa sama kami juga harus lebih waspada dengan kemenangan dua kali berturut-turut ditampilkan skuad Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan A sebelum ini yang jelas memberi amaran mereka mampu melakukan kejutan kepada mana-mana pasukan,” katanya.

Aidil berkata, walaupun keyakinan pemainnya kembali meningkat  selepas layak ke peringkat suku akhir sejurus menewaskan Terengganu FC Jumaat lalu, perjuangan skuad Lang Merah masih belum  berakhir. 

"Walaupun memiliki keyakinan selepas meraih kemenangan ketiga dalam kumpulan, kami tetap akan waspada dan berhati-hati untuk berdepan Negeri Sembilan yang bangkit dua kali berturut-turut melakar kemenangan (3-2) ke atas Terengganu FC dan (3-1) PKNS FC.

Aidil mahu semua pemain teruskan fokus, tidak mudah leka dibuai kemenangan lalu serta meningkatkan tahap keyakinan dalam usaha memburu kemenangan bagi melengkapkan aksi keenam Kumpulan A. 

Berita Harian X