Jumaat, 20 September 2019 | 7:42am
PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) meraikan jaringan gol bersama rakan pasukan dalam perlawanan pertama Kumpulan F Liga Europa tengah malam tadi. - Foto AFP

United, Arsenal mula langkah kanan Liga Europa

PARIS: Finalis tahun lalu, Arsenal menang 3-0 ke atas Eintracht Frankfurt dalam perlawanan pertama Kumpulan F Liga Europa tengah malam tadi tatkala Mason Greenwood membantu kejayaan Manchester United manakala Rangers mengatasi Feyenoord.

Unai Emery yang menurunkan barisan baru merakam keputusan memberangsangkan apabila pemain mudanya, Joe Willock dan Bukayo Saka menyinar dengan masing-masing menyumbat gol di Jerman.

Tuan rumah beraksi 10 pemain apabilla Dominik Kohr dilayangkan kad merah sebelum Pierre-Emerick Aubameyang memastikan gol ketiga Arsenal.


UNAI Emery

"Semua pihak boleh gembira dan meneruskan langkah dalam saingan ini sangat penting, jadi kemenangan ini sangat bagus, terutama di tempat lawan," kata Emery.

Arsenal akan menanti kunjungan Standard Liege, yang menewaskan Vitoria Guimaraes 2-0 pagi tadi.

Di Old Trafford, United terhutang budi kepada jaringan tunggal pemain muda, Greenwood yang berusia 17 tahun untuk mengatasi Astana dari Kazakhstan 1-0 dalam saingan Kumpulan L.

Greenwood muncul pemain paling muda menyumbat gol buat United dalam saingan peringkat Eropah ketika perlawanan berbaki 17 minit.

Kejayaan itu berbaloi buat Ole Gunnar Solskjaer yang membariskan sembilan muka baru berbanding skuad Liga Perdana yang menang ke atas Leicester City, Sabtu lalu.


Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto Reuters

"Kamu boleh lihat beberapa pemain kami beraksi dan mereka sangat hebat, kami dapat tiga mata,” kata Solskjaer.

Dalam satu lagi perlawanan, AZ Alkmaar bangkit untuk mengikat Partizan Belgrade 2-2 di Serbia meskipun beraksi dengan 10 pemain selama lebih 30 minit.

Bagaimanapun, satu lagi wakil Liga Inggeris, Wolverhampton Wanderers terus gagal apabila tewas 0-1 kepada Braga di Molineux.


PENYERANG Manchester United's, Mason Greenwood (tengah) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan. - Foto AFP

Jaringan tunggal Ricardo Horta pada babak kedua memadai buat kelab dari Portugal itu meraih tiga mata Kumpulan K.

Slovan Bratislava merakam kemenangan 4-2 mengatasi Besiktas, yang akan menunggu kunjungan Wolves di Istanbul selepas ini.

Sementara itu, anak buah Steven Gerrard, Rangers bermula cemerlang mengatasi pasukan pilihan Belanda, Feyenoord 1-0 di Ibrox dalam Kumpulan G menerusi gol tunggal Sheyi Ojo.

Sebelum itu, James Tavernier terlepas penalti Glasgow yang memulakan saingan penuh emosi dengan bertafakur seminit bagi menghormati kematian Fernando Ricksen iaitu bekas pemain Rangers yang juga bekas pertahanan Belanda yang meninggal dunia pada usia 43 Rabu lalu akibat penyakit lemah saraf.

Rangers akan berdepan ujian getir selepas ini apabila berkunjung ke Switzerland menentang Young Boys, yang tewas 1-2 kepada Porto yang menyaksikan Tiquinho menyumbat dua gol.

Celtic pula bergelut sebelum terikat 1-1 ketika menentang Rennes di Perancis dalam aksi Kumpulan E yang sengit.

Sevilla, yang menjuarai Liga Europa tiga tahun mulai 2014 hingga 2016, mudah menewaskan Qarabag 3-0 di Azerbaijan dalam Kumpulan A menerusi jaringan permulaan Javier Hernandez.

Dalam saingan Kumpulan D, PSV Eindhoven menang 3-2 ke atas Sporting Lisbon manakala Roma membelasah Istanbul Basaksehir 4-0 dalam Kumpulan J.

Borussia Moenchengladbach ditimpa malang apabila kalah 0-4 di tangan Wolfsberg di laman sendiri sekali gus kekalahan terbesar mereka kepada pasukan Austria itu.

Basel pula merakam kejayaan terbesar apabila membelasah FC Krasnodar 5-0. – AFP

Berita Harian X