Ahad, 22 September 2019 | 11:29pm
Pemain West Ham United, Ryan Fredericks (kiri) diasak pemain pertahanan United, Ashley Young. - Foto Reuters

West Ham mudah atasi Man Utd

LONDON: West Ham United menewaskan Manchester United 2-0 di laman sendiri untuk melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris dengan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer menamatkan permainan tanpa penyerang selepas Marcus Rashford dikeluarkan akibat kecederaan.

Penyerang Ukraine Andriy Yarmolenko meletakkan West Ham di depan di akhir babak pertama dan Aaron Cresswell mengesahkan kemenangan menerusi sepakan percuma minit ke-84.

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Pelawat, yang kehilangan Paul Pogba, Anthony Martial dan Luke Shaw akibat kecederaan dan penyerang muda Mason Greenword kerana masalah kesihatan, beraksi hambar sepanjang permainan.

United gagal mencipta peluang sepanjang babak pertama tetapi Juan Mata terlepas peluang keemasan di awal babak kedua, manakala Harry Maguire dihalang penjaga gol West Ham Lukasz Fabianski.

Peluang untuk Man United bangkit semakin tipis selepas Rashford dikeluarkan, dipercayai kecederaan otot, dan pemain sayap Daniel James berfungsi sebagai penyerang tunggal sepanjang baki 30 minit permainan.

Aaron Cresswell (kanan) meledak gol kedua West Ham. - Foto Reuters

West Ham kini mengumpul 11 mata selepas enam perlawanan, berkongsi dengan Leicester City di tangga ketiga, manakala Man United kelapan pada lapan mata.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Crystal Palace dan Wolverhampton Wanderers terikat 1-1 di Selhurst Park selepas Diogo Jota menjaringkan gol penyamaan Wolves dalam masa kecederaan. Palace mendahului hasil jaringan sendiri Leander Dendoncker pada minit pertama babak kedua. – REUTERS

Berita Harian X