Isnin, 23 September 2019 | 10:39am
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Tiada peningkatan di United - Mourinho

LONDON: Kekalahan Manchester United di tangan West Ham mengingatkan betapa mereka jatuh merudum ketika Ole Gunnar Solskjaer sudah buntu untuk menukar nasib pasukan itu.

Kesilapan pertahanan, kekurangan kreativiti di bahagian tengah dan kurang ancaman di bahagian serangan menyebabkan kelab itu sudah ketinggalan hanya selepas enam perlawanan dalam Liga Perdana.

Statistik tampak tidak menggembirakan penyokong United. Sejak tamat tempoh bulan madu Solskjaer pada Mac, mereka hanya menang lima daripada semua 19 perlawanan pelbagai kejohanan.

Selepas sembilan kemenangan berturut-turut di bawah kendalian pengendali dari Norway itu dalam semua kejohanan, mereka kini melalui sembilan pertemuan tanpa kemenangan dan sudah 10 mata di belakang pendahulu Liverpool.

Dan ia hadir ketika dua pencabar utama, Manchester City dan Liverpool menetapkan standard baharu di persada Liga Perdana.

Jose Mourinho yang dipecat pada Disember, memberitahu Sky Sports selepas kekalahan malam tadi di Stadium London, dia tidak melihat sebarang peningkatan di United musim ini, walaupun menandatangani pertahanan, Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka serta pemain sayap, Daniel James.

“Saya sukakan tiga pemain itu,” katanya. “Saya rasa mereka membawa kualiti yang bagus kepada pasukan. Tetapi sebagai satu pasukan, saya langsung tak suka. Saya tidak terkejut dengan keputusan itu dan saya tidak rasa Ole boleh menerima sesuatu yang positif daripada perlawanan itu.”

Bekas kapten United, Roy Keane yang menang beberapa trofi di bawah kendalian Alex Ferguson, berkata adalah “menakutkan melihat betapa jauh mereka jatuh.”

Menjadikan keadaan lebih teruk buat Solskjaer, penyerang England Marcus Rashford cedera pada babak kedua menyebabkan dia tiada penyerang terkenal di atas padang.

Kecederaan itu mendatangkan lebih banyak persoalan mengenai keputusan tidak menggantikan penyerang Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez, kedua-duanya kini bermain buat Inter Milan.

Dengan Anthony Martial juga dilanda kecederaan, Jesse Lingard masuk tetapi bergelut mencari prestasi terbaiknya.

Namun kurangnya jaringan – United tidak menjaringkan lebih daripada satu gol dalam perlawanan sejak kemenangan pada hari pembukaan 4-0 mengatasi Chelsea – hanya menampakkan penyerang mereka yang tumpul. 

Bahagian tengah nampak tua dan tiada kreativiti, jauh berbeza dengan kekuatan mencipta jaringan dan kreativiti yang banyak dimiliki skuad kendalian Pep Guardiola, City. - AFP

Berita Harian X