Selasa, 24 September 2019 | 10:30am
OLE Gunnar Solskjaer. - Foto Reuters

Solskjaer masih selamat

LONDON: Manchester United percaya pengurus Ole Gunnar Solskjaer masih individu terbaik untuk tugasan berkenaan walaupun prestasi kelab tidak menentu.

Skuad kendalian Solskjaer jatuh ke tangga kelapan Liga Perdana selepas kekalahan 2-0 kepada West Ham dan kini tewas 10 daripada 19 perlawaan dalam semua kejohanan.

Bagaimanapun United meletakkan pengendali Norway itu untuk proses membina semula ketika dia dilantik sepenuh masa pada Mac dan menerima kenyataan ia memerlukan masa buatnya menukar nasib kelab berkenaan.

Mereka akan menyokong Solskjaer pada pasaran perpindahan pemain Januari ini jika pengendali itu mahu menguatkan pasukan sekali lagi selepas membelanjakan hampir £150 juta pound (RM779 juta) musim panas ini bagi mendapatkan Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka dan Dan James. 

Secara khusus, United memerlukan penyerang selepas membenarkan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez meninggalkan kelab itu tanpa pengganti.

Keputusan itu memakan diri selepas Marcus Rashford dan Anthony Martial cedera manakala pemain remaja, Mason Greenwood terlepas saingan berdepan West Ham juga cedera.

Kecederaan pangkal paha dihadapi Rashford di Stadium London masih dinilai di sebalik kebimbangan penyokong dia akan diketepikan sehingga selepas rehat perlawanan antarabangsa bulan depan.

Jika penyerang United tidak disenaraikan dalam kelayakan Euro 2020 England berdepan Republik Czech dan Bulgaria, tempatnya dalam skuad dijangka akan menjadi milik pemain Chelsea, Tammy Abraham. - Agensi

Berita Harian X