Rabu, 25 September 2019 | 12:04am
Neymar ketika menjalani latihan di Paris, hari ini. - Foto AFP

'Neymar usaha kawal emosi'

PARIS: Bintang Brazil, Neymar terkenal dengan sikapnya yang gemar mencipta kontroversi tetapi penyerang Paris-Saint Germain (PSG) itu berikrar cuba memperbaikinya selain mengakui ‘berperang’ dengan masalah emosi.

Neymar beberapa kali terbabit dengan insiden musim lalu, termasuk penggantungan kerana komennya terhadap pengadil susulan kekalahan PSG dalam kempen Liga Juara-Juara oleh Manchester United serta dakwaan serangan ke atas peminat.

Begitupun, dia berkata sedang cuba untuk mengawal sikap baran dan melihat bagaimana menenangkan dirinya ketika ditimpa masalah.

“Saya bukannya seorang yang ramah,” kata Neymar. “Saya suka memendam perasaan, saya suka menyimpan segala-galanya dalam diri sendiri. Tetapi ada ketikanya saya menjadi kecewa, amat marah, meledak dan tidak berbicara dengan cara yang betul.

“Saya sedang cuba untuk memperbaikinya. Setiap kali saya cuba berbincang dengan seseorang, saya cuba bercakap. Dan saya fikir ia bagus untuk saya. 

“Saya fikir jika mental kamu baik segala-galanya akan berlaku dengan semula jadi. Kamu akan terdorong melakukan perkara yang betul. Jika tidak begitu baik, perkara tidak akan berlaku seperti yang kamu harapkan. Kadang kala ia sukar kerana kamu sentiasa perlu menjadi sempurna dan sebagai manusia ia mustahil.”

Neymar mengakui dia melakukan beberapa kesilapan sebelum ini dan proses untuk memperbaiki kembali keyakinan perlu dibayar dengan harga yang mahal.

“Saya fikir adalah normal untuk manusia gagal, ia sebahagian daripada kehidupan dan menerusi kesilapan ini kamu membesar dan belajar. Ibu bapa saya, kakak saya, keluarga saya dan rakan-rakan saya, saya bermain untuk mereka dan berlatih setiap hari.

“Saya tahu mereka sentiasa berada di sisi saya. Mereka adalah orang yang membantu saya ketika saya tiada apa-apa, jadi mereka adalah inspirasi saya.” - Agensi

Berita Harian X