Rabu, 25 September 2019 | 12:10am
Solskjaer membayangkan Paul Pogba akan membuat kepulangan semula. - Foto fail Reuters

Solskjaer sedia senarai Pogba

LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer membayangkan Paul Pogba akan membuat kepulangan semula susulan kecederaan ketika melawan skuad divisyen tiga, Rochdale bagi aksi Piala Liga, Khamis ini.

Pemain tengah Perancis itu diketepikan selama tiga minggu berikutan kecederaan buku lali tetapi Solskjaer yakin dia cergas untuk bermain ketika United menerima kunjungan Arsenal di Old Trafford bagi kempen Liga Perdana, Selasa ini.

"Dia mungkin akan bermain selama beberapa minit menentang Rochdale," kata Solskjaer hari ini. “Tetapi kami benar-benar berfikir yang dia bersedia untuk melawan Arsenal.”

Pilihan Solskjaer di bahagian tengah berkurangan susulan masalah kecederaan dan ia bertambah selepas penyerang Marcus Rashford turut terpaksa diketepikan akibat kecederaan pangkal paha ketika kekalahan 0-2 pasukan itu di West Ham.

Pemain kebangsaan England itu dijangka tidak akan beraksi pada minggu ini tetapi mungkin boleh disenaraikan ketika menentang Arsenal dengan United terdesak memburu tiga mata penuh.

Anthony Martial dan Luke Shaw masih meneruskan proses pemulihan tetapi pemain muda, Mason Greenwood, yang menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Astana dalam kempen Liga Europa minggu lalu cergas untuk disenaraikan selepas tersisih bagi aksi di West Ham akibat masalah kesihatan. - AFP

Berita Harian X