Rabu, 25 September 2019 | 9:26pm
Alisson Becker kembali menjalani latihan penuh dan semakin hampir membuat kepulangan semula dalam aksi kompetitif. - Foto fail AFP

Alisson tak sabar bantu Reds

LONDON: Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker kembali menjalani latihan penuh dan semakin hampir membuat kepulangan semula dalam aksi kompetitif selepas enam minggu tersisih susulan masalah betis.

Pemain kelahiran Brazil itu terpaksa dikeluarkan ketika Reds meraih kemenangan 4-1 ke atas Norwich pada aksi pembukaan kempen Liga Perdana, 9 Ogos lalu.

“Saya fikir perkembangan saya bagus, saya fikir kami makin hampir,” kata Alisson. “Saya boleh bermain di atas padang untuk melakukan latihan penjaga gol dan saya merasa hebat.

“Saya merasa yakin dan fikir kini ia hanya berkaitan bagaimana mengembalikan semula kekuatan saya, semua keyakinan untuk kembali bermain dan melakukan apa yang saya gemar lakukan.”

Alisson dinamakan Penjaga Gol Terbaik FIFA pada majlis anugerah badan induk itu di Milan, semalam berikutan sumbangannya ketika membantu Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu.

Tetapi meskipun tanpa khidmat penjaga gol penuh bersemangat itu, Liverpool tetap mengharungi perlumbaan yang cemerlang dalam saingan liga dengan memenangi keenam-enam perlawanan pembukaan dan memiliki kelebihan lima mata di puncak liga.

Penggantinya di gawang, Adrian yang menyertai Liverpool empat hari sebelum aksi bertemu Norwich turut beraksi cemerlang dan memainkan peranan penting ketika kemenangan 2-1 ke atas Chelsea, minggu lalu.

Justeru Alisson mengakui persembahan hebat penjaga gol Sepanyol itu membenarkannya untuk tidak tergesa-gesa menjalani proses pemulihan. -  AFP

Berita Harian X