Khamis, 26 September 2019 | 12:04am
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane. - Foto Reuters

Zidane kembali sanjung Bale

MADRID: Zinedine Zidane menghambur pujian terhadap Gareth Bale berikutan sumbangan penyerang Wales itu yang kembali menampilkan persembahan meyakinkan buat Real Madrid ketika ini.

Masa depan Bale bersama gergasi Sepanyol itu menjadi persoalan pada musim panas ini dengan Zidane secara terbuka mengakui pemain berusia 30 tahun itu tidak berada dalam perancangannya.

Bekas pemain Tottenham itu dipancing dengan tawaran lumayan ke China tetapi kekal di Santiago Bernabeu sekali pun Real merekrut ramai pemain baharu termasuk Eden Hazard.

Selepas perpindahan itu gagal, Zidane mengubah pandangannya terhadap Bale dan memberikannya tempat skuad utama pada permulaan kempen dan kepercayaan itu dibalas dengan dua gol selain umpanan dalam empat perlawanan La Liga termasuk ketika kemenangan ke atas Sevilla, minggu lalu.


Gareth Bale dipancing dengan tawaran lumayan ke China tetapi kekal di Santiago Bernabeu. - Foto Reuters

"Bale benar-benar fokus, sama seperti pemain lain. Dia mahu beraksi dengan hebat, dia berada di prestasi yang baik. Dia adalah pemain yang penting dan sedar dia pemain yang hebat,” kata pengendali kelahiran Perancis itu.

“Dia membantu ketika kami menyerang dan juga ketika bertahan, seperti dilakukan pada perlawanan terakhir. Apabila semua orang komited, kami dapat melakukan perkara yang hebat.”

Kemenangan ke atas Sevilla menyaksikan Real mendaki ke tangga ketiga La Liga selepas lima perlawanan, berkongsi kedudukan dengan Granada tetapi kurang satu perlawanan.

Mereka berpeluang mendaki puncak liga jika merakam kemenangan ke atas Osasuna, awal pagi ini sebelum mengharungi perlawanan tetangga Madrid pada awal pagi Ahad.

Sehingga kini, Los Blancos masih belum tewas dalam kancah domestik tetapi prestasi mereka dikritik apabila seri menentang Real Valladolid dan Villarreal sebelum dimalukan juara Perancis, Paris Saint-Germain  3-0 dalam kempen Liga Juara-Juara minggu lalu. - Agensi

Berita Harian X