Khamis, 26 September 2019 | 1:45pm
PEMAIN sayap Terengganu FC (TFC), Ahmad Syamim Yahya. - Foto Rozainah Zakaria

Ahmad Syamim pasrah

KUALA TERENGGANU: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Ahmad Syamim Yahya pasrah sekiranya tidak tersenarai antara 18 pemain yang bakal membawa cabaran pasukannya menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.

Ini susulan pemain berusia 29 tahun kelahiran Raub, Pahang itu masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan ligamen lutut pada aksi pertama peringkat kumpulan menentang PKNS FC sebelum ini.

“Saya pasrah sama ada disenaraikan atau sebaliknya apabila bertemu JDT nanti kerana belum cergas sepenuhnya. Saya masih lagi terasa kesakitan ketika sesi latihan.

“Namun, jika saya cergas sepenuhnya sebelum Sabtu ini, besar harapan saya untuk membantu skuad TFC dalam perlawanan itu supaya layak ke separuh akhir lebih-lebih lagi pasukan kami ketinggalan 0-1 pada aksi pertama. Saya doakan kami mampu menang sekurang-kurangnya 2-1 untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Buat rakan sepasukan teruskan perjuangan hingga titisan peluh terakhir biarpun sedar bukan mudah beraksi di Larkin. Buat peminat setia skuad Penyu, sokongan padu anda sentiasa ditagih untuk menyuntik semangat pemain beraksi lebih baik dalam pertemuan penting itu,” kata Syamim yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dan Johor.

Sementara itu, pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain tidak mahu mengambil risiko menurunkan Syamim sebaliknya ingin melihat laporan pegawai perubatan mengenai tahap kecergasan pemain itu.

“Kita akan menilai tahap kecergasan Syamim dan juga Thierry Chantha Bin. Jika sesuai kita akan senaraikan mereka. Ketika aksi persahabatan kelmarin, Syamim kelihatan semakin baik, begitu juga Chantha Bin. Mungkin kecergasan dia belum pulih sepenuhnya lagi.

“Namun peluang buat dua pemain itu boleh saya rumuskan masih 50-50 untuk disenaraikan. Namun kita ada pemain yang mampu menggalas tugas di posisi berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, di sini, petang semalam.

Berita Harian X