Sabtu, 28 September 2019 | 5:03pm
PEMAIN Kedah meraikan kemenangan menentang PKNP FC pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. NSTP/Effendy Rashid.

2 gol belum selamat - Aidil

 

ALOR SETAR: Kedah yang mendapat bekalan dua gol di tempat lawan pada aksi pertama suku akhir pertama Piala Malaysia Rabu lalu, tidak sesekali akan mengambil mudah usaha mencari kemenangan pada aksi kedua menentang PKNP FC di Stadium Darul Aman esok.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, berkata skuadnya tidak harus menganggap dua gol itu memberi kelebihan kerana perjuangan melayakkan diri keperingkat separuh akhir belum lagi tamat. 

"Kita perlu lupakan kelebihan dua gol itu kerana perjuangan 90 minit di Darul Aman masih belum berakhir dan kita perlu selesaikan baki tugas seterusnya.

"Kita tahu PKNP FC akan datang dengan hajat besar memburu kemenangan selepas mereka tewas di Manjung dan ini memberi isyarat mereka tiada pilihan dan mahu mencari kemenangan di sini.

"Jadi saya mahu semua pemain meneruskan semangat serta fokus seperti ditampilkan di Manjung untuk memastikan langkah kita ke peringkat separuh akhir tercapai," katanya.

Pengendali berusia 41 tahun ini turut bersyukur apabila segala perancangan penting dirangka di Manjung berjalan lancar dan berkesan serta mengharapkan percaturan lebih penting kali ini di laman sendiri.

"Perlu diingat, kita dibolosi pada situasi sedang mencari gol pendahuluan dan kita perlu terus berhati-hati dengan serangan bahaya dari penyerang mereka," katanya.

Berita Harian X