Ahad, 29 September 2019 | 11:08pm
Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme (kiri) diasak pemain Melaka United, Jang Sukwon dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Tok Gajah selesa ke separuh akhir

 

KUANTAN: Skuad Pahang tidak berdepan masalah mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Melaka United 3-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.  

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh  mencatat kemenangan dengan agregat 6-1 hasil daripada kemenangan 3-0 pada suku akhir pertama, 22 September lalu.  

Namun, aksi separuh masa pertama tidak seperti diharapkan apabila kedua-dua pasukan gagal tampil dengan permainan pantas dan bertenaga.  

Peluang terbaik tuan rumah hanya hadir menerusi sentuhan Lazarus Kaimbi tetapi jaringan penyerang import Namibia itu dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-24.  

Namun, Kaimbi tidak mengecewakan penyokong Tok Gajah apabila menjaringkan gol pendahuluan hasil lorongan Mohamadou Sumareh empat minit sebelum berakhir separuh masa pertama.  

Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme (tengah) diasak pemain Melaka United, Jang Sukwon dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Sebaik bersambung babak kedua, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan yang ketinggalan menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang, Nazrin Nawi pada minit ke-54.  

Pada minit ke-64, penyerang import tuan rumah, Dickson Nwakaeme kembali meletakkan skuad itu di depan selepas menewaskan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.  

Nwakaeme yang juga pemain dari Nigeria menambah derita Melaka United apabila meletakkan tuan rumah selesa mendahului 3-1 pada minit ke-76.  

Kemenangan itu menyaksikan Pahang akan berdepan Kedah pada aksi separuh akhir piala berprestij itu.

Berita Harian X