Isnin, 30 September 2019 | 7:51am
Pemain Brescia, Mario Balotelli (tengah, kiri) menjaringkan gol dalam aksi perlawanan Serie A menentang Napoli di Naples, Itali. - Foto EPA

Napoli ceria, Ribery bantu Fiorentina hukum AC Milan

MILAN: Napoli mengembalikan rentak kemenangan selepas menewaskan Brescia 2-1, awal pagi tadi ketika Franck Ribery mengesahkan kemenangan 3-1 Fiorentina ke atas AC Milan yang beraksi 10 pemain.

Kekalahan buat kali ketiga berturut-turut itu menyaksikan Milan terperosok ke tangga ke-16 Serie A.

Kesemua kelab Itali yang dijadual beraksi dalam saingan Eropah minggu ini memanaskan badan dengan kemenangan ketika Napoli menafikan cabaran kelab baru dinaikkan pangkat, Brescia sekali pun penyerang sensasi Mario Balotelli meledak gol sulungnya.

Gol pada babak pertama menerusi Dries Mertens dan Kostas Manolas memastikan tuan rumah mengutip tiga mata penuh selepas mengharungi kekecewaan tewas kepada Cagliari minggu lalu sebelum membuat kunjungan ke Belgium untuk berdepan Genk bagi aksi Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu kekal di tangga keempat dengan mengutip 12 mata daripada enam perlawanan, ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Inter Milan yang menewaskan Sampdoria 3-1, pada Sabtu sebelum membuat kunjungan sukar ke Barcelona.

“Kami hampir untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum melepaskan jaringan dan berdepan beberapa masalah kecederaan. Sudut yang positif adalah kami berjaya keluar dari situasi yang sukar,” kata Ancelotti. 

“Kami masih berusaha untuk mendapatkan kecergasan terbaik, bukan semua orang berada di tahap itu, tetapi kami akan berada di sana.”

Sementara itu, krisis di AC Milan meningkat dengan jurulatih Marco Giampaolo bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan selepas bekas juara Eropah itu mengharungi kekalahan keempat daripada enam perlawanan.


Pemain Fiorentina, Franck Ribery (tengah) cuba dihalang pemain AC Milan, Alessio Romagnoli (kiri) dan Matteo Musacchio dalam saingan Serie A di Stadium Giuseppe Meazza, di Milan. - Foto EPA

“Malam ini kami nampak seperti pasukan yang tidak pernah berlatih bersama,” kata Giampaolo yang pasukannya dihukum dengan kecemerlangan bekas pemain tengah Bayern Munich, Ribery yang mengesahkan kemenangan kedua berturut-turut buat Fiorentina musim ini.

Ribery menjaringkan gol ketiga Fiorentina pada minit ke-77 bagi menambah derita Milan yang turut bolos menerusi jaringan Gaetano Castrovilli dan Erick Pulgar.

Milan terpaksa bermain dengan 10 pemain pada keseluruhan babak kedua selepas Mateo Musacchio diarah keluar padang susulan kekasaran terhadap Ribery dan pemain kelahiran Perancis itu menerima pujian di San Siro selepas perlawanan.

“Dia layak mendapatkannya. Dia mengharungi perlawanan yang menakjubkan,” kata pengurus Fiorentina, Vincenzo Montella. “Dia sentiasa penting, sentiasa berada dalam permainan sekali pun dia tidak memiliki kepantasan yang dia ada lima atau enam tahun lalu.” - AFP

Berita Harian X