Isnin, 30 September 2019 | 12:56pm
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola. - Foto Reuters

'Guardiola belum sedia takluk Eropah, Liga Perdana'

LONDON: Pep Guardiola sedar Manchester City perlu berbelanja ketika jendela perpindahan Januari bagi meningkatkan pilihan di bahagian pertahanan untuk mencabar kejuaraan Eropah dan domestik, kata Gary Neville.

Juara Inggeris itu berdepan krisis di bahagian pertahanan apabila dua tonggaknya, Aymeric Laporte dan John Stones terpaksa diketepikan susulan kecederaan dengan pengendali Sepanyol itu terpaksa menyenaraikan Fernandinho untuk bergandingan bersama Nicolas Otamendi.

City memenangi perlawanan Liga Perdana minggu lalu 3-1 ke atas Everton tetapi Toffes masih berupaya menyumbat gol berikutan kerapuhan di jentera pertahanan.

Guardiola berkata City ‘tidak mampu’ untuk mencari pengganti tetapi pengurus England, Neville menolak pandangan berkenaan dengan berkata kelab itu akan berusaha membawa masuk pemain baharu seperti dilakukan pada Januari 2018.

“Kamu perlu berfikir yang City akan berbelanja pada Januari,” kata Neville yang juga bekas pemain Manchester United. “Saya menonton sesuatu yang Guardiola berkata mereka tidak mempunyai wang. Tetapi sebenarnya mereka memiliki lebih banyak duit berbanding orang lain.

“Mereka membeli Aymeric Laporte pada Januari pada setengah tahun yang lalu dan saya rasa mereka akan sekali lagi melakukan perkara yang sama. Mereka belum cukup baik untuk Liga Juara-Juara atau Liga Perdana. Guardiola menyedarinya, dia mengetahui standard lebih baik berbanding orang lain.”

Pilihan City selepas Fernandinho dan Otamendi adalah pemain muda, Eric Garcia, 18, dan Taylor Harwood-Bellis yang lebih muda di usia 17 tahun.

Neville berkata ketiadaan kapten, Vincent Kompany mengakibatkan lompong besar terhadap City sambil mengakui pemain yang memiliki kaliber sama seperti bekas pertahanan Belgium itu sukar untuk dicari ganti.

City dijadual bertemu Dinamo Zagreb dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini sebelum melawan Wolves pada 6 Oktober dalam kempen Liga Perdana. - Agensi

Berita Harian X