Isnin, 30 September 2019 | 1:39pm
KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. - Foto Effendy Rashid

Bukan mudah ke separuh akhir  – Aidil

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak menganggap pencapaian skuadnya yang berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini sebagai sesuatu pencapaian yang tidak mudah dan penuh dengan cabaran.

Beliau memuji pemainnya yang menunjukkan kesungguhan dari satu perlawanan ke satu perlawanan sehingga membawa kemenangan skuadnya menewaskan PKNP FC dengan jaringan 4-1 (agregat 6-2) di Stadium Darul Aman semalam. 

"Walaupun ini bukanlah satu persembahan yang terbaik antara semua perlawanan, namun kita berjaya mendapat satu keputusan yang memuaskan malam ini dengan sikap dan komitmen tinggi seratus peratus ditunjukkan semua, saya rasa ianya bukan senang untuk dicapai."

"Saya bersyukur kerana kita dapat menghasilkan dua gol pada babak pertama oleh Farhan Roslan dan Jonatan Bauman dan diikuti dua gol lagi oleh David Rowley dan Fayadh Zulkifli kita mampu tenangkan tekanan PKNP."

"Kita lihat PKNP bekerja keras dan berjaya menunjukkan kualiti mereka dan saya harus berterima kasih kepada seluruh penyokong Kedah yang hadir dan ia nyata membantu menaikkan semangat pemain kita."

Walaupun skuad Lang Merah berjaya mendapatkan jarigan besar, bekas pengendali Home United ini turut mengakui terdapat beberapa kelemahan yang jelas perlu diatasi segera di separuh akhir nanti.'

"Kita ada masa tiga minggu untuk memperkemas dan memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam usaha mempertingkatkan prestasi semua pemain ke tahap lebih baik."

"Namun tugas itu akan digalas oleh pembantu kejurulatihan saya kerana saya akan menghadiri kursus kejurulatihan untuk lesen Pro A di Jepun selama dua minggu dan saya cuma ada tiga hari selepas tamat kursus berkenaan sebelum bermulanya aksi separuh akhir nanti."

"Namun saya yakin mereka mampu melaksanakan tugas sepeti yang dirancang dan saya percaya keupayaan seluruh barisan kejurulatihan dan juga semua pemain." 

Mengulas peluang Kedah dalam pertemuan menentang Pahang di separuh akhir nanti, Aidil menganggap ia satu saingan yang sukar dan mahu skuadnya terus bekerja keras memburu kejayaan. 

"Melawan Pahang, kita tahu mereka pasukan kedua Liga Super dan memiliki pemain import dan tempatan yang hebat termasuk jurulatihnya, kita harus bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang baik di laman sendiri dahulu."

"Ia bukan satu tugas yang mudah kerana kita perlukan mentaliti kemenangan pada cabaran peringkat lebih tinggi di separuh akhir nanti, saya yakin pemain akan berusaha dengan bersungguh sunguh," katanya. 

 

 

Berita Harian X