Selasa, 1 Oktober 2019 | 8:31am
Solskjaer menggalakkan penyerangnya supaya mempelajari sentuhan penyudah Aubameyang. - Foto EPA
Solskjaer menggalakkan penyerangnya supaya mempelajari sentuhan penyudah Aubameyang. - Foto EPA
Pemain Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) bersaing dengan pemain Manchester United, Harry Maguire dalam aksi di Old Trafford. - Foto Reuters
Pemain Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) bersaing dengan pemain Manchester United, Harry Maguire dalam aksi di Old Trafford. - Foto Reuters

Solskjaer mahu Man Utd 'belajar' dari Aubameyang

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menggalakkan penyerangnya supaya mempelajari sentuhan penyudah Pierre-Emerick Aubameyang selepas peledak Arsenal itu menyumbat gol ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Old Trafford, awal pagi tadi.

United kini hanya menang dua daripada tujuh perlawanan Liga Perdana musim ini dan kehampaan mereka berterusan berikutan kegagalan menyempurnakan peluang kecuali gol yang diperoleh menerusi rembatan jarak jauh Scott McTominay sebelum rehat.

Skuad kendalian Solskjaer hingga kini tidak berjaya untuk meledak lebih daripada satu gol dalam sebarang perlawanan sejak aksi pembukaan liga musim ini.

“Kami mendahului 1-0 dan kemudian kami tidak memperoleh gol kedua yang kami mahukan. Kali ini kami mendapat pengajaran,” kata Solskjaer dengan United ketika ini menghuni tangga ke-10 liga.

“Jadi lebih sinis, klinikal. Ada begitu banyak perlawanan yang kami mendahului 1-0. Kami akan belajar. Kami masih dalam permulaan untuk membina sesuatu. Ia hanya sedikit mengecewakan yang kami tidak berupaya mendapat gol kedua.”

Penyerang antarabangsa Gabon, Aubameyang langsung tidak terganggu sekali pun jaringannya pada awalnya dibatalkan susulan offsaid selepas hampir sejam perlawanan berlangsung.

Begitupun, jaringan berkenaan kemudian diberikan menerusi campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas dia didapati berjaya melepasi perangkap offsaid Harry Maguire.

Aubameyang kini sudah menjaringkan lapan gol dalam lapan perlawanan musim ini, termasuk tujuh dalam kempen Liga Perdana.

“Tujuh dalam tujuh perlawanan, ia amat klinikal,” kata Solskjaer mengulas mengenai kekagumannya terhadap Aubameyang. “Kamu berfikir mungkin Harry mampu melakukannya tetapi ia jelas beberapa kaki tidak offsaid dan ia adalah penyudah yang bagus.” - Reuters

Berita Harian X