Selasa, 1 Oktober 2019 | 3:09pm
PEMAIN Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) mengasak pemain Manchester United, Harry Maquire pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) mengasak pemain Manchester United, Harry Maquire pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters

VAR rosakkan nikmat ledak gol - Aubameyang

LONDON: Pierre-Emerick Aubameyang mendakwa Video Bantuan Pengadil (VAR) ‘merosakkan’ nikmat meledak gol selepas jaringannya ketika Arsenal bertemu Manchester United perlu diteliti teknologi berkenaan, awal pagi tadi.

Penyerang Gunners itu menjaringkan gol penyamaan pasukannya pada babak kedua di Old Trafford selepas Scott McTominay meletakkan tuan rumah di depan sebelum rehat.

Aubameyang pantas mengejar bola hantaran Bukayo Saka sebelum melakukan tolakan melepasi David de Gea tetapi keraiannya terencat apabila penjaga garisan mengibarkan bendera offsaid.

Situasi berkenaan dinilai semula oleh VAR dan rakaman menunjukkan pertahanan United, Harry Maguire berada jauh di belakang penyerang antarabangsa Gabon itu sekali gus mengesahkan jaringan berkenaan.

Aubameyang berkata dia yakin tidak melakukan kesalahan offsaid dan mengakui dilanda ‘perasaan yang aneh’ ketika gol itu dinilai semula.

“Saya yakin ia tidak offsaid,” kata Aubameyang. “Saya terkejut apabila pengadil membunyikan wisel tetapi saya hanya menyudahkannya seperti biasa. Saya akan cuba menjaringkan gol sekali pun wisel sudah dibunyikan.

“Saya dapat mendengar yang penonton berkata ia adalah offsaid tetapi kemudian ia gol, jadi saya amat gembira. Benar (ia merencatkan keraian), sentiasa ada... Perasaan yang aneh. Kamu tidak boleh meraikannya 100 peratus. Tetapi ia tidak apa-apa. Saya gembira.”

Keputusan seri 1-1 itu mengakhiri deretan tiga kemenangan berturut-turut Gunners tetapi kelab kendalian Unai Emery itu masih belum kalah dalam enam perlawanan terakhir dalam semua kejohanan dan menghuni tangga keempat Liga Perdana. - Agensi

...

Berita Harian X