Rabu, 2 Oktober 2019 | 7:22am
Penyerang Tottenham, Harry Kane menumbat gol melalui sepakan penalti ketika menentang Bayern Munich, awal pagi tadi. - Foto EPA

Bayern buat Spurs 'terduduk'

LONDON: Serge Gnabry meledak empat gol pada babak kedua ketika Bayern Munich mengaibkan Tottenham 7-2 dalam kempen Liga Juara-Juara di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.

Ia sekali gus menjadi kekalahan dengan margin terbesar yang dialami kelab Inggeris di gelanggang sendiri dalam mana-mana saingan elit Eropah.

Juara Bundesliga itu begitupun terlebih dulu dibolosi menerusi jaringan Son Heung-min sebelum bangkit melakar kejutan pada perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan.

Penyerang England, Harry Kane memberikan peminat tuan rumah sedikit harapan apabila mengurangkan defisit 2-4 pada satu ketika menerusi penalti tetapi ia tidak berjaya menghalang juara Eropah lima kali itu daripada terus mengganas.

“Ia petang yang hebat untuk Bayern Munich dan juga bola sepak Jerman,” kata pengurus Bayern, Niko Kovac. “Bermain di sini di England sentiasa unik.

“Saya merasa kasihan kepada rakan sejawat saya (Bos Spurs, Mauricio Pochettino)," katanya sambil melabel Gnabry sebagai ‘menakjubkan’ serta persembahan hebat Manuel Neuer menjaga gawang Bayern.

Pemain Bayern Munich, Serge Ganbary (kanan) mengawal bola dari pemain Tottenham Hotspurs, Jan Vertonghen pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Selain Joshua Kimmich yang menyamakan kedudukan buat Bayern pada minit ke-15, penyerang Poland, Robert Lewandowski turut menyumbat dua gol pada minit ke-45 dan 87 dengan Gnabry paling mencuri tumpuan dengan jaringan pada minit ke-53, 55, 83 dan 88.

Spurs yang mara ke final Liga Juara-Juara pada Jun lalu sebelum tewas kepada Liverpool mengharungi permulaan terumbang-ambing musim ini apabila hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan terakhir.

Kekalahan memberikan tugasan sukar buat Pochettino untuk meningkatkan kembali moral pemainnya selepas dipalit kekalahan memalukan di gelanggang sendiri.

“Apa yang penting adalah kekal bertenang, tidak terburu-buru membuat analisa, tidak tergesa-gesa membuat pertimbangan dan melakukan penilaian,” kata Pochettino yang memuji penyudah klinikal Bayern yang melakukan 11 cubaan tepat ke gawang. - AFP

Aksi pemain Bayern Munich, Robert Lewandowski (tengah) ketika menentang Tottenham Hotspur pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA

Berita Harian X