Khamis, 3 Oktober 2019 | 8:05am
Pemain Chelsea, Tammy Abraham meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Lille, pada perlawanan Kumpulan H, Liga Juara-Juara awal pagi tadi. - Foto Reuters
Pemain Chelsea, Tammy Abraham meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Lille, pada perlawanan Kumpulan H, Liga Juara-Juara awal pagi tadi. - Foto Reuters

Chelsea dapat rentak Eropah

LILLE, Perancis: Tammy Abraham meraikan ulang tahun kelahiran ke-22 dengan jaringan pada minit ke-22 dan ramalan penyerang Chelsea itu menjadi kenyataan apabila dia menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 di Lille.

Abraham meledak gol Liga Juara-Juara pertamanya untuk meletakkan skuad kendalian Frank Lampard di depan selepas mendapat hantaran daripada Fikayo Tomori.

Chelsea kemudian mengesahkan kemenangan dalam kejohanan musim ini dengan gol Willian yang meraikan penampilan ke-300nya untuk Chelsea.

“Kami sedar yang kami perlu memenangi perlawanan ini. Saya tahu saya akan mempunyai peluang saya hari ini dan saya rasa saya melakukannya dengan baik,” kata Abraham.

Pemain Chelsea, N’Golo Kante (kanan) diasak pemain Lille, Renato Sanches pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP
Pemain Chelsea, N’Golo Kante (kanan) diasak pemain Lille, Renato Sanches pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Secara keseluruhan ia perlawanan yang bagus. Ia bukan tempat yang mudah untuk bermain. Satu persembahan yang menakjubkan oleh pasukan.”

 

Abraham, yang kini meledak lapan gol musim ini, mendedahkan yang Lampard sedang menerapkan sistem baharu dan ia membantu menjelmakan kemenangan di Lille.

Pemain sayap Brazil, Willian turut gembira dapat membantu pasukan meraih kemenangan selepas Victor Osimhen menyamakan kedudukan untuk Lille.

“Kami berhak untuk menang malam ini. Kami memerlukan kemenangan dan bekerja keras setiap hari, setiap perlawanan,” kata Willian.

“Pasukan melakukan kerja dengan cemerlang dan kini kami perlu meneruskan rentak ini.

“Kami tidak boleh berputus asa. Sentiasa mencuba, sentiasa berlari, sentiasa berusaha dan kami berhak untuk menang malam ini.” – AFP

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X