Ahad, 6 Oktober 2019 | 8:11am
Penyerang Real Madrid, Eden Hazard (tengah) menewaskan dua pemain Granada lalu merembat ke dalam gol pada saingan La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP

Hazard akhiri kemarau di Real

MADRID: Eden Hazard meledak gol pertamanya untuk Real Madrid tetapi kelab gergasi Sepanyol itu terpaksa menangkis semangat juang hebat Granada pada babak kedua sebelum mengesahkan kemenangan 4-2 dalam saingan La Liga, awal pagi tadi.

Karim Benzema meletakkan Real di depan seawal minit kedua pada aksi di Santiago Bernabeu sebelum Hazard membuka akaun jaringannya menerusi penyudah menarik pada penghujung babak pertama.

Jaringan jarak jauh Luka Modric selepas sejam perlawanan berlangsung seakan mengesahkan kemenangan buat tuan rumah tetapi Granada meledak dua gol pantas bermula penalti Darwin Machis dan Domingos Duarte ketika permainan berbaki 12 minit.

James Rodriguez, yang dimasukkan sebagai pemain gantian meredakan kebimbangan apabila meledak gol pertamanya untuk Real sejak Mei 2017 bagi melengkapkan permainan membabitkan dua kelab teratas liga itu menuju rehat antarabangsa.


Sepakan percuma Real Madrid dihalang pemain Granada pada perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto EPA

“Kami tidak mahu gawang kami bolos tetapi kadang kala pihak lawan boleh memberikan kamu banyak tekanan,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane. “Kami tidak mengalah, kami meneruskannya dan kami tahu kami akan menjaringkan gol keempat.”

Sepanjang 60 minit permainan, Real mengawal sebahagian besar perlawanan tetapi pada 20 minit terakhir mencetuskan kebimbangan buat Zidane yang skuad kendaliannya sebelum ini diikat Club Brugge 2-2 dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu lalu.

Selepas lima perlawanan, bekas penyerang Chelsea, Hazard akhirnya menyumbat gol pertamanya dan Zidane mengakui gembira dengan sumbangan pemain yang dibelinya dengan harga AS$109 juta (RM456.23 juta) itu.

"Kami memerlukan Eden seperti itu, bermain dengan baik dan menjaringkan gol,” kata Zidane. “Dia gembira selepas perlawanan berakhir di bilik persalinan. Kami semua gembira untuknya dan juga gol yang dijaringkan. Saya berharap ia baru permulaan.” - AFP


Penyerang Real Madrid, Gareth Bale (kiri) dihalang pertahanan Granada, German Sanchez pada perlawanan La Liga, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X