Ahad, 6 Oktober 2019 | 6:05pm
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memuji prestasi Harimau Malaya. - NSTP/Owee Ah Chun

Kemenangan pemangkin semangat berdepan Vietnam

 

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memuji prestasi Harimau Malaya selepas skuad itu membelasah Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Justeru, Hamidin mahu anak buah Tan Cheng Hoe menjadikan keputusan itu sebagai pembakar semangat untuk berdepan Vietnam dalam aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis ini.

Malah, beliau turut mengingatkan Harimau Malaya supaya terus mengekalkan fokus 100 peratus bagi mendapatkan keputusan positif di Hanoi nanti.

"Perlawanan berdepan Sri Lanka sememangnya menjadi pemanas badan terbaik buat Harimau Malaya namun jangan biarkan kemenangan ini melekakan kita sebaliknya jadikan ia sebagai pembakar semangat.

"Bukan mudah untuk mengekalkan kemenangan konsisten, apa yang penting pemain perlu bangkit menentang Vietnam.

"Jadikan perlawanan sebelum ini dan kemenangan semalam sebagai pemangkin untuk kita bangkit dengan kemenangan. Misi itu tidak mustahil dengan berbekalkan semangat juang tinggi demi negara," kata Hamidin.


Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Walaupun ranking skuad negara lebih baik iaitu 158, Sri Lanka yang menghuni tangga ke-202 dunia sudah membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan lebih atas termasuk ketika hanya tewas 2-0 kepada Turkmenistan dan 1-0 kepada Korea Utara sebelum ini.

Harimau Malaya pada 10 September lalu tewas 2-1 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas memulakan kempen dengan langkah kanan dengan menundukkan Indonesia 3-2 di gelanggang lawan pada 5 September.

Berita Harian X