Ahad, 6 Oktober 2019 | 6:08pm
Penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad (kiri) diasak pemain Sri Lanka pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Syafiq akui perlu kerja keras hadapi Vietnam

 

KUALA LUMPUR: Meledak lima gol dalam tiga perlawanan bersama Harimau Malaya jadi bukti betapa Syafiq Ahmad berada pada puncak prestasi yang dilabelkan sebagai terbaik sepanjang kariernya.

Selepas sumbangan dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini, Syafiq terus garang apabila meledak hatrik membantu Harimau Malaya menang 6-0 ke atas Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

"Ini rezeki saya," katanya mengulas kejayaan hatrik pertama bersama skuad kebangsaan. "Mungkin ada hikmah saya cedera sebelum ini. Bagi saya sendiri, selepas kembali daripada kecederaan, sehingga sekarang, inilah prestasi semasa yang terbaik."

Sekali pun berasa puas dengan prestasi dipamerkan ketika menentang Sri Lanka, Syafiq mengakui seluruh pasukan perlu bekerja keras ketika menentang Vietnam pada aksi ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Hanoi, Khamis ini.

"Tidak bermakna semua ini datang daripada kerja saya seorang tetapi ianya hadir dengan bantuan rakan sepasukan lain yang jelas bekerja keras. Kredit juga wajar diberikan kepada mereka.

“Untuk aksi dengan Vietnam, kami perlu berikan lebih lagi daripada apa yang kami berikan malam ini (semalam). Tunjukkan watak sebenar yang kita mahukan kemenangan ke atas Vietnam," katanya.

Berita Harian X