Isnin, 7 Oktober 2019 | 12:02am
Penyerang Chelsea, Tammy Abraham (kiri) meledak gol pertama ketika menentang Southampton di St Mary. - Foto Reuters

Bintang muda Chelsea menyerlah atasi Southampton

SOUTHAMPTON, United Kingdom: Tammy Abraham dan Mason Mount meraikan penggilan ke pasukan kebangsaan England dengan membantu Chelsea menang 4-1 mengatasi pasukan bergelut, Southampton sebentar tadi.

Abraham, Mount dan rakan sepasukan Blues, Fikayo Tomori semuanya dinamakan pengurus England, Gareth Southgate dalam skuad untuk kelayakan Euro 2020 di Republik Czech dan Bulgaria.

Tiga pemain muda itu mencuri tumpuan sekali lagi di St Mary’s ketika Abraham dan Mount menjaringkan gol untuk mengekalkan permulaan hebat mereka musim ini.

Abraham sudah menjaringkan sembilan gol dalam semua kejohanan buat Chelsea muism ini, memberikan sebab kenapa Southgate berminat mendapatkan khidmatnya dalam saingan kompetitif bagi memastikan dia boleh bersama England.

Pemain berusia 22 tahun itu sudah memenangi dua kaps buat England dalam saingan persahabatan berdepan Brazil dan Jerman pada 2017 namun dia boleh menukar kerakyatan kepada Nigeria menerusi bapanya.

Tomori, 21, juga boleh mewakili Nigeria, tetapi pertahan tengah itu menunjukkan kehebatannya buat England dengan persembahan baik untuk menyekat Southampton.

Mount, 20, menjaringkan gol kedua Chelsea untuk sekali lagi menunjukkan naluri pemusnahnya.

Danny Ings menjaringkan satu gol buat Southampton, namun N’Golo Kante dan Michy Batshuayi turut meledak bagi menjadikan empat kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan buat Chelsea, yang mula menyerlah pada musim pertama di bawah kendalian Frank Lampard. - AFP

Berita Harian X