Isnin, 7 Oktober 2019 | 2:37pm
WILLIAN

'Willian pemimpin sejati'

LONDON: Willian mungkin tidak meledak gol ketika Chelsea menewaskan Southampton 4-1, semalam tetapi sumbangannya mendapat pujian menggunung bos Blues, Frank Lampard yang melabelnya sebagai ‘pemimpin.’

Selepas mengharungi permulaan perlahan, Chelsea yang ‘berwajah baharu’ mula menampilkan taring dengan kunjungan ke St Marys menjadi bukti kebangkitan pasukan itu yang ketika ini menghuni tangga kelima Liga Perdana.

Pemain muda, Tammy Abraham, Mason Mount meledak gol dalam perlawanan berkenaan dengan dua lagi jaringan disumbangkan N’Golo Kante dan Michy Batshuayi tetapi bagi Lampard yang juga bekas pemain Blues, prestasi ditampilkan Willian paling membanggakan.

“Saya tidak fikir kami bermula dengan baik dan ia adalah perkara yang kami pernah bincangkan sebelum ini,” kata Lampard. “Gol yang kami peroleh datang tepat pada masanya dan selepas itu, saya mula merasa yakin. Tidak bermain di tempat sendiri, kami menjaringkan gol, jadi ia petang yang baik.

“Persembahan Tammy menakjubkan, prestasinya secara keseluruhan dan juga kerja kerasnya terhadap bola. Tetapi saya perlu menyatakan yang sumbangan Willian sangat besar, dia adalah contoh dengan apa yang dilakukannya. Dia adalah pemimpin, bukan hanya disebabkan oleh jeritannya, tetapi menerusi prestasinya. 

“Tetapi jangan terbawa-bawa dengan persembahan ketika ini, musim masih panjang dan kami merasakan yang kami patut mengutip lebih banyak mata berbanding yang kami ada ketika ini. Kami tidak berada di prestasi terbaik dan kami boleh menjadi lebih baik.”

Kemenangan menyaksikan Chelsea ketika ini sudah mencatat empat perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan di peringkat domestik dan Eropah. - Agensi

 

 

Berita Harian X